Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, mahu memberi saingan sengit kepada pemain lain bagi membuktikan mengapa dia layak berada dalam skuad projek khas badminton negara.

Skuad projek khas menumpukan kepada bahagian perseorangan dengan ia dikendalikan sepenuhnya oleh dua jurulatih, Hendrawan serta Tey Seu Bock.

Selain Joo Ven, skuad itu dibarisi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Yee Han, Soo Teck Zhi serta Lim Chi Wing.

Bagaimanapun, hanya kedudukan Iskandar masih belum pasti berikutan kecederaan panjang yang dialaminya.

"Sudah tentu tekanan mesti ada tetapi saya meletakkan ke tepi dan hanya menumpukan perhatian terhadap permainan dan melakukan yang terbaik dalam kejohanan.

"Latihan setakat ini memang baik dan kami dapat berlatih dengan Datuk Lee Chong Wei. Kadang-kadang kami membantu antara satu sama lain," kata Joo Ven.

Dalam pada itu, dia tidak resah walaupun kurang menyertai pertandingan sejak bermulanya musim ini.

Pembabitan terakhirnya ialah dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, bulan lalu.

Ketika rakan seperjuangan lain sibuk dalam persiapan untuk menghadapi Terbuka Malaysia minggu depan, lain pula kisahnya buat Joo Ven.

Dia dijangka menyertai Cabaran Antarabangsa Osaka hujung bulan ini di samping Grand Prix Emas Masters China pada pertengahan April.

"Jangkaan pada masa ini ialah BAM mahu sekurang-kurangnya kami masuk dalam separuh akhir dan itulah sasaran saya. Kalau saya boleh pergi lebih jauh, ia satu bonus kepada saya," tambahnya.

Soong Joo Ven

Umur: 22 Tahun
Asal: Ampang, Selangor
Ranking dunia: 107

Pencapaian 2016:
• Naib juara Terbuka Scotland