Pemain beregu remaja negara, Chen Tan Jie, belum ada perancangan untuk menjalani latihan sepenuh masa bersama skuad kebangsaan andai diberi peluang berbuat demikian.

Tan Jie merupakan antara pemain berstatus kelab yang menyerlah dalam Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao baru-baru ini.

Dia bersama gandingannya, Toh Eei Wei, meraih pingat gangsa selepas cabaran mereka terkandas dalam separuh akhir.

Tan Jie yang mewakili Kelab Badminton Petaling, bagaimanapun, mengakui mahu terus memberi tumpuan kepada pasukan kelabnya, apatah lagi dia menerima tunjuk ajar daripada bekas pemain kebangsaan, Yap Kim Hock.

"Beliau (Kim Hock) merupakan jurulatih yang memiliki kemahiran yang bagus. Tapi keistimewaan yang dimiliki beliau adalah kekuatan dan kepantasan, oleh itu permainan saya banyak meningkat.

"Saya masih belum memikirkan lagi untuk menyertai latihan kebangsaan kerana sedang menjalani pemilihan bersama kelab Petaling.

"Biarlah saya fokus untuk menghadapi Kejohanan Purple League terlebih dahulu," ujar Tan Jie mengenai perancangan terdekatnya.

Sementara itu, penyertaan di Bilbao merupakan yang terakhir buat pemain perseorangan wanita negara, M. Thinaah, selaku pemain remaja.

Ini kerana dia akan beralih sebagai pemain senior pada tahun hadapan.

Selain itu, Thinaah juga mengalami peralihan jurulatih apabila tugas yang dahulunya disandang Wong Tat Meng, kini diambil alih oleh Sairul Amar Ayub.

Menurut Thinaah, dia masih dalam proses untuk mempelajari teknik latihan yang diterapkan oleh Sairul yang ketika ini bersama skuad kebangsaan dalam Terbuka India.

"Persaingan di peringkat senior bukannya mudah kerana sangat sengit. Dengan beberapa pemain remaja juga sudah mula menapak, saya berharap untuk mendapat peluang itu.

"Setakat ini, saya belum tahu lagi kaedah latihan yang diterapkan jurulatih (Sairul Amar) sebab hanya berkesempatan menjalani latihan di bawah kendaliannya selama beberapa hari sahaja lagi.

"Lagipun, saya baru kembali dari Bilbao, jadi tengoklah macam mana nanti sekembalinya jurulatih dari Terbuka India," katanya.