Gandingan beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, melihat 2016 sebagai satu musim yang menguji kredibiliti serta lengkap dengan kisah suka-duka tersendiri buat mereka.

Sebagai beregu wanita nombor satu negara, prestasi Vivian-Khe Wei sentiasa berada di bawah pemerhatian barisan kejurulatihan dan peminat sukan tanah air.

Antara detik manis buat mereka adalah menjadi sebahagaian daripada skuad Olimpik Rio yang mencipta sejarah meskipun tidak menyumbang kepada pungutan pingat.

Pujian wajar diberikan kepada mereka atas dasar mengerah keringat untuk melayakkan diri ke Rio dan menawarkan tentangan sebelum kecundang dalam aksi suku akhir.

Tetapi, konsistensi mereka dalam saingan bertaraf terbuka menjadi tanda tanya terhadap keberkesanan mereka sebagai satu gandingan.

Penampilan saat akhir dalam Siri Super Akhir di Dubai tidak berupaya menjadi penutup tirai yang menghadirkan senyuman apabila mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

"Secara keseluruhan buat tahun ini, kami tidak begitu konsisten dan melayakkan diri ke Olimpik merupakan sasaran utama, kami berharap tahun hadapan mampu menjadi lebih baik buat kami," jelas Vivian.

2017 berupaya menjadi kempen lebih memberangsangkan buat Vivian-Khe Wei dengan misi besar skuad negara adalah di Kejohanan Dunia Glasgow, Scotland serta Sukan SEA Kuala Lumpur.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menetapkan syarat bagi pemilihan dua tugasan penting ini, sama ada layak ke Glasgow atau khidmat mereka lebih diperlukan untuk Sukan SEA, Malaysia pasti boleh menaruh kepercayaan kepada beregu ini untuk memikul harapan kejayaan.

"BAM telah menetapkan syarat bahawa kami perlu menduduki kelompok lapan terbaik untuk beraksi di pentas Kejohanan Dunia, jika tidak kami akan memberikan fokus kepada Sukan SEA sahaja."