Pemain beregu badminton negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani, bertekad mahu membuktikan mereka berhak berada dalam skuad negara untuk mengibarkan cabaran dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, 14-19 Februari ini.

Pasangan muda ini mengharungi musim yang cemerlang meskipun baru sahaja digandingkan sejak Januari tahun lalu.

Mereka berjaya meraih beberapa gelaran, antaranya Siri Antarabangsa Singapura dan Switzerland, dan terbaru meraih gelaran naib juara di Malaysia Masters, bulan lalu.

Justeru, beregu muda negara ini mahu membalas kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menyenaraikan mereka untuk bersaing di Vietnam.

"Peluang yang baik buat kami beraksi dengan pemain-pemain berpengalaman. Kami tidak tertekan menghadapi kejohanan ini, malah bersedia mencari kemenangan di Vietnam nanti," kata Sze Fei.

Biarpun kekurangan pengalaman jika dibandingkan dengan satu lagi beregu negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, yang turut menggalas cabaran dalam kejohanan itu, Sze Fei dan Nur Izzuddin tidak memandang ia sebagai satu kelemahan.

Mereka selesa dianggap sebagai pemain bukan pilihan kerana ia bakal memberi ruang untuk beraksi tanpa tekanan.

"Dari segi teknikal, semua pemain memiliki kualiti yang sama. Apa yang membezakan mereka adalah pengalaman di dalam gelanggang dan berjaya membuat keputusan yang tepat," kata Izzudin.