Sze Fei/Izzuddin perangkap Markis Kido/Hendra untuk mara ke final

By Shaiful Shamsudin 21 January 2017
 Sze Fei/Izzuddin perangkap Markis Kido/Hendra untuk mara ke final
Cabaran getir terpaksa diharungi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, sebelum mara ke perlawanan akhir Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia apabila mengetepikan pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Aprida Gunawan, malam ini.  

Kedua-dua pasangan itu saling mengejar kedudukan sebelum permainan kemas pasangan negara membolehkan mereka mendahului saingan 17-15. 

Beregu muda negara itu tidak menunggu lama untuk menoktahkan cabaran set pertama dengan kemenangan 21-15. 

Masuk set kedua, Markis dan Hendra yang mengisi ranking ke-35 dunia cuba bangkit memperkemaskan permainan.

Bagaimanapun, gandingan negara kekal ampuh untuk mendahului 8-4. 

Jurang ranking nyata bukan halangan buat pasangan muda negara itu yang kekal tenang dan konsisten memerangkap setiap percaturan lawan untuk memastikan slot ke final dalam tempoh 32 minit pertarungan  hasil kemenangan 21-13.

Mereka menempah pertemuan dengan satu lagi pasangan Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment