Jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty, masih memberikan kepercayaan terhadap gandingan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei untuk merangkul pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini meskipun mereka sedang bergelut dengan masalah prestasi.

Tatkala temasya dwitahunan itu tinggal kurang dua bulan dari hari pembukaan, Pei Tty mempunyai tugas getir untuk mengembalikan semula kegemilangan Vivian dan Khe Wei.

Ia bagaikan satu misi mustahil buat Pei Tty memandangkan pasangan itu sedang mengalami kemarau kejuaraan yang panjang di pentas antarabangsa.

Pencapaian terbaik gandingan wanita negara ini adalah muncul juara kebangsaan, Februari lalu.

"Buat masa ini, mereka adalah pilihan terbaik. Bagi saya, tiada apa yang mustahil.

"Jika mereka mampu beraksi dengan perwatakan dan mental yang betul, mereka mampu melakukannya," ujar Pei Tty.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah pun mula mengambil tindakan tegas apabila menarik pasangan itu daripada beraksi dalam Terbuka Australia minggu ini, sekaligus memberi bayangan mereka harus mengembalikan sentuhan dalam masa terdekat andai mahu mengelak daripada dikenakan tindakan lebih tegas.

Bagaimanapun, Pei Tty yakin kedua-duanya akan bekerja keras untuk memulihkan kepercayaan semua pihak, apatah lagi gandingan itu pernah menggenggam emas dalam Sukan SEA Myanmar 2013 manakala perak di Singapura pada 2015.

"Sebelum Sukan SEA, kami masih ada satu bulan lebih untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya itu," jelas Vivian.