Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, tetap memberi tumpuan terhadap persediaan dua wakil negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia, untuk tampil dengan aksi lebih meyakinkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada cabaran jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, untuk menghadapi Kejohanan Dunia, namun Misbun tetap menyedari kepentingan kedua-dua wakil negara itu berjuang sehabis mungkin dalam Sukan SEA.

Jelasnya, masih banyak yang perlu dilakukan tetapi yakin dengan tempoh masa yang ada, Iskandar dan Zii Jia dapat meningkatkan lagi prestasi mereka.

Misbun sudah melatih Iskandar sejak dia memulakan tugas, 3 Julai lalu, manakala Jii Zia baru sahaja menjalani latihan sepenuh masa bersamanya bermula semalam.

"Saya cuba menyelami mereka, kekurangan mereka adalah disebabkan mereka masih baru di bawah pengawasan saya.

"Oleh kerana masa yang begitu suntuk -- Chong Wei pun saya nak ajar, sini pun nak jaga -- tetapi saya cuba merangkumi dan cuba pastikan mereka faham.

"Saya tidak mahu mereka terus berbuat sesuatu tetapi tidak faham, itu bahaya," ujarnya.

Dengan Misbun akan terikat bersama Chong Wei dalam Kejohanan Dunia, tanggungjawab bagi memastikan pemain-pemain mengekalkan rentak akan digalas dua pembantunya, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob.

Edisi 2015 di Singapura menyaksikan skuad badminton negara membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan lelaki menerusi Chong Wei Feng.

Bagaimanapun, saingan kali ini menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menyasarkan emas menerusi acara beregu wanita serta beregu campuran.

"Pertandingan dah ada tetapi saya belum nampak kemenangan lagi.

"Kita kena buat penyelidikan dan pembangunan terhadap pemain-pemain luar seperti Tanongsak Saensomboonsuk, Jonathan Christie dan beberapa pemain lain lagi yang boleh menggugat serta memberi saingan hebat kepada Iskandar.

"Begitu juga dengan Zii Jia dan juga dengan pemain yang lain."