Edisi ke-15 Sukan SEA pada 1989 adalah kali keempat Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwi-tahunan itu.

Walaupun sekadar muncul naib juara keseluruhan ketika itu, barisan negara berjaya meraih emas dalam dua acara tumpuan, iaitu bola sepak dan badminton berpasukan lelaki.

Dengan moto "Kini Saatnya", temasya 1989 di Kuala Lumpur tetap berlangsung dengan jayanya dari 20 hingga 31 Ogos tahun itu.

Sukan SEA 1989 disertai sembilan negara Asean, dengan upacara pembukaannya ketika itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Azlan Shah.

Malaysia sekadar menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 67 emas, 58 perak dan 75 gangsa.

Sekalipun gagal memintas Indonesia selaku juara keseluruhan, kontinjen negara meraih kedudukan keseluruhan lebih baik daripada kuasa besar serantau lain seperti Thailand dan Singapura.

Saingan badminton berpasukan lelaki menyaksikan sokongan padu peminat tempatan di Stadium Negara, menyemarakkan semangat pemain meraih emas walaupun berdepan pasukan pilihan, Indonesia, di pentas akhir.

"Kebanyakan pemain adalah daripada pasukan 1988. Jadi, semangat dan keyakinan agak tinggi, malah kita menjadi tuan rumah ketika itu dan penyokong berada di belakang kita," kata bekas pemain perseorangan negara, Rashid Sidek.

Kejayaan dalam Sukan SEA 1989 turut menjadi pemangkin kepada barisan pemain sama untuk meraih kejuaraan Piala Thomas 1992, juga di Stadium Negara.

Malam penutup temasya itu dihangatkan dengan aksi final bola sepak di antara skuad kebangsaan berdepan seteru utama, Singapura, di Stadium Merdeka.

Keadaan cuaca yang kurang baik pada malam itu, tidak melunturkan semangat skuad kebangsaan bimbingan Trevor Hartley untuk memastikan ibu segala emas Sukan SEA menjadi milik kontinjen negara, selepas menang 3-1.

"Stadium begitu penuh sekali, seorang pun tidak berganjak walaupun hujan begitu lebat. Perdana Menteri (ketika itu Tun Mahathir Mohamad) pun ada bersama penyokong memberi semangat kepada pemain untuk bermain bermati-matian," kata bekas penyerang kebangsaan, Zainal Abidin Hassan.

Kemampuan Hartley membentuk barisan seimbang, turut menjadi faktor kejayaan skuad negara pada malam penuh gemilang itu.