Baru hari pertama melaporkan diri, Pengarah Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mahu kem kebangsaan tidak lagi bergantung kepada siri kejohanan kecil untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebaliknya pemain digesa mencapai merit dalam kejohanan utama.

Choong Hann melaporkan diri secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini, dua bulan lebih awal daripada perjanjian asal, iaitu 1 Januari 2019.

Baginya, kemasukan awal memberinya lebih masa untuk mendalami pelan kejurulatihan sedia ada, sekali gus dapat membuat penambahbaikan yang bersesuaian untuk setiap pemain bagi tahun depan.

2019 dianggap penting kerana pusingan kelayakan Sukan Olimpik bakal bermula sekitar Mei, justeru Choong Hann mahu memastikan Malaysia mampu untuk menghantar wakil maksimum bagi kesemua acara.

"Kami perlu mencari formula untuk kempen musim 2019.

"Kami perlu bermula dengan baik pada Januari nanti dan terlebih dahulu saya perlu meneliti dan memahami senario semasa pasukan, kemudian barulah kami boleh merangka pelan yang berkaitan," ujarnya.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu juga akan meneliti penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa yang dianggap padat sehingga menjadi penyumbang kemerosotan prestasi pemain.

Jelasnya, perubahan akan dilaksanakan bagi memantapkan lagi prestasi pemain dengan tuntutan pencapaian dalam kejohanan utama.

"Apabila seseorang pemain itu beraksi dalam siri kejohanan yang rendah, corak pemikiran mereka tetap serupa dan keputusan yang dicapai juga sama.

"Fokus kami ketika ini adalah meningkatkan kebolehan pemain supaya mereka boleh berdepan dengan mana-mana seteru.

"Mereka perlu mencari jalan untuk mengatasi pemain yang lebih baik, bukannya mencari jalan mudah untuk mengutip mata," katanya lagi.