Timbalan chef-de-mission (CDM) kedua Sukan SEA Ke-30 di Filipina, Nurul Huda Abdullah, yakin Datuk Lee Chong Wei akan menjadi ketua kontinjen terbaik buat negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Persaraan Chong Wei daripada arena badminton jelas mengejutkan ramai pihak kerana impiannya untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik tidak tercapai.

Di sebalik bintang perseorangan negara itu tidak akan beraksi dalam temasya Tokyo 2020, namun dia tetap bersemangat untuk mengiringi kontinjen Malaysia apabila diumum sebagai CDM, minggu lalu.

"Dia akan mencetuskan inspirasi buat atlet dalam Sukan Olimpik.

"Dia sendiri pun pasti kecewa kerana tidak dapat menyertai Sukan Olimpik untuk memenangi pingat emas sulung buat Malaysia.

"Namun, dengan pengalaman yang ada, dia boleh memotivasikan dan menjadi inspirasi kepada atlet negara yang bertanding," katanya.

Tambah Olahragawati Sukan SEA 1989 itu, walaupun berlaku perubahan pada saat-saat akhir dalam senarai acara Sukan SEA 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan, atlet hendaklah sentiasa bersedia untuk mengharumkan nama negara.

"Atlet sedang bertungkus-lumus untuk persiapan Sukan SEA 2019, malangnya Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISOC) masih belum memuktamadkan acara yang dipertandingkan dan saya harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Dari situ, atlet boleh membuat persiapan yang lebih rapi," katanya lagi.

Pada 14 Mei lalu, bekas ratu renang negara itu dilantik sebagai timbalan CDM kedua Sukan SEA 2019, sekali gus melengkapkan senarai dua timbalan untuk membantu tugas CDM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di tiga lokasi penganjuran temasya dwitahunan itu.