Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengelak untuk melakukan tambahan pertukaran sensasi ke atas skuad Sukan Asia Indonesia apabila mengekalkan barisan beregu lelaki semasa.

Ini ketika gandingan meningkat naik, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, dijangka mengiringi Liew Daren ke Jakarta.

Ia bermakna kepercayaan terus diberikan kepada gandingan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.

Dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, minggu lalu, Aaron dan Wooi Yik merekodkan pencapaian terbaik skuad beregu lelaki dengan melayakkan diri ke suku akhir.

Lebih menakjubkan, mereka beraksi di atas tiket jemputan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

V Shem dan Wee Kiong pula tersingkir dalam pusingan ketiga sementara Ee Yi dan Yew Sin tewas kepada senior mereka itu dalam pusingan kedua.

Berbeza dengan situasi Daren, BAM berasakan mereka perlu melindungi Aaron dan Woi Yik daripada terus terbeban dengan aksi berterusan sejak bulan lalu.

"Kalau kita lihat prestasi V Shem-Wee Kiong dan Ee Yi-Yew Sin agak baik sebenarnya. V Shem-Wee Kiong kalah tipis (kepada Li Junhui-Liu Yuchen) dalam pusingan ketiga. Kalau menang, mungkin mereka akan jadi juara dunia.

"Aaron dan Wooi Yik pula hanya tidak bernasib baik, tetapi kami menganggap V Shem-Wee Kiong tidaklah beraksi buruk daripada Aaron dan Wooi Yik.

"Mereka membuat persiapan yang baik untuk beraksi dalam Sukan Asia, sebab itu kami mengekalkan dua gandingan itu," kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai.