Legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj, menganggap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terburu-buru memilih Liew Daren bagi menggantikan Datuk Lee Chong Wei ke Sukan Asia Indonesia jika hanya berdasarkan prestasi dalam Kejohanan Dunia minggu lalu.

Persoalan terbesar mengenai pemilihan Daren ialah mampukah dia konsisten dalam dua kejohanan besar dalam tempoh dua minggu?

Pemain berusia 31 tahun itu meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia di Nanjing, China, namun ditimpa kecederaan ketika tewas di peringkat separuh akhir. Jadi, adakah pemilihan Daren keputusan tepat?

"Ini mungkin bagus untuk kita kerana dia beraksi baik tetapi persoalannya adakah dia boleh pulih tepat pada masanya. Adakah kita ada junior sebagai simpanan, tiada. Kita hanya ada dua pemain.

"Keputusan sudah dibuat, kita akan lihat sama ada dia boleh pulih," kata Selvaraj.

Ranking ke-39 dunia yang dimiliki Daren mengetepikan pemain muda, Cheam Jun Wei, untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei.

BAM mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Daren selepas tiba ke tanah air dari Nanjing, hari ini.

"Kami sudah mendapat komitmen daripada Daren bahawa dia sanggup bersama-sama pasukan. Bermula minggu depan, dia akan berlatih bersama pasukan kebangsaan.

"Kami tidak memasukkan nama Jun Wei tetapi nama Daren. Kami terus tukar (ganti) Chong Wei.

"Maksudnya, skuad perseorangan diwakili Daren dan Lee Zii Jia," kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Sementara itu, pengeluar jenama sukan, Bata, dipilih sebagai penaja kasut rasmi kontinjen negara ke Sukan Asia.