Jendela perpindahan pemain dalam saingan SS Purple League (SSPL) yang dibuka semula memberi peluang kepada enam pasukan teratas memantapkan pasukan mereka menjelang pusingan kalah mati di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Lima slot pendaftaran pemain baru untuk setiap pasukan yang ditutup pada 16 Januari lalu dimanfaatkan sepenuhnya oleh enam pasukan teratas liga round robin SSPL.

Pasukan tersebut ialah Kelab Badminton (KB) Muar, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Ampang Jaya, dan KB Ampang Jaya yang membawa masuk beberapa pemain ternama memperkuatkan pasukan mereka.

Antara pemain yang telah diikat untuk beraksi dalam saingan kalah mati SSPL nanti adalah pemain wanita nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Chinese Taipei yang akan membawa cabaran KB Puchong United.

Selain itu, KB Puchong United turut mengikat pemain beregu wanita nombor dua dunia dan ranking keempat dalam beregu campuran, Christinna Pedersen dari Denmark. Kehadiran pemain itu pastinya sebagai persediaan pasukan itu yang berkemungkinan bakal turun tanpa Goh Liu Ying yang baru menjalani rawatan akibat kecederaan lututnya.

KB Petaling yang sudah memiliki pemain nombor satu negara, Datuk Wira Lee Chong Wei, nyata mahu terus memperkasakan lagi skuad mereka.

Kali ini, bekas pemain wanita nombor satu dunia dari China, Wang Yihan, turut diikat Yap Kim Hock bagi membantu pasukan itu memburu kejuaraan SSPL musim ini.

Juara peringkat round robin SSPL, KB Muar, turut tidak ketinggalan untuk membawa masuk pemain baru. Mereka mendapatkan pemain Korea Selatan, Lee Yong Dae, yang sudah pasti akan bergandingan dengan rakan senegaranya, Lee Hyo Jung.

Ini adalah penampilan kedua Yong Dae selepas pernah bersama pasukan ini musim lalu. Bukan itu sahaja, Hendra Setiawan yang pernah memenangi pingat emas Olimpik, akan turut sama membawa cabaran KB Muar.

Pasukan KB Ampang Jaya pula membawa masuk pemain perseorangan lelaki dari India, Ajay Jayaram, yang kini berada di ranking ke-19 dunia serta pemain dari Vietnam, Nguyen Tien Minh, yang berada di ranking ke-42 dunia.

Sementara itu, pasukan KB Petaling Jaya yang bermula garang pada awal saingan round robin SSPL lalu juga mendapatkan pemain berpengalaman dari Korea Selatan, Shin Baek Cheol dan Kim Sa Rang serta pemain muda India, Harsheel Dani, dalam pasukan mereka.

Pengurus KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, berkata: “Kami perlu melakukan perubahan dalam pasukan kerana ada pemain seperti Bodin Isara yang beraksi bersama kami sebelum ini terpaksa pulang ke Thailand bagi menghadapi Kejohanan Terbuka Thailand.

“Apapun, saya dapat mengisi semula kekosongan itu dengan mendapatkan dua pemain dari Korea Selatan untuk memperkuatkan pasukan kami, iaitu Kim Sa Rang dan Shin Bak Cheol selain pemain perseorangan dari India, Dani Harsheel. Saya harap mereka dapat membantu kami ke final,” ujar Kay Lun.

KB Bandar Utama Dragons yang julung kalinya menyertai SSPL juga melakukan persiapan yang tidak kurang hebatnya.

Selain memiliki pemain wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei, kini pemain yang mempamerkan aksi cemerlang dalam pusingan round robin bersama KB Bangsar Hawks, Lee Ying Ying, turut dipancing kelab itu.

Pemain Denmark, Emil Holst, dan pemain wanita nombor 14 dunia dari Amerika Syarikat, Zhang Beiwen, juga menyertai KB Bandar Utama Dragons dalam misi memburu kejuaraan SSPL nanti.

Enam pasukan di kedudukan teratas liga bakal beraksi dalam peringkat kalah mati yang berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Resorts World Genting bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga ke-10.