Saingan peringkat separuh akhir SS Purple League (SSPL) menyaksikan Kelab Badminton (KB) Puchong United berjaya menempah tempat ke final apabila mengatasi lawan mereka, KB Muar, di Arena Of Stars, Resorts World Genting sebentar tadi.

Kemenangan 11-4 itu juga menyaksikan KB Puchong United menghampakan hasrat KB Muar untuk memburu gelaran hatrik Purple League setelah pasukan dari Johor itu menjuarai dua edisi kejohanan sebelum ini.

Dalam perseorangan lelaki, KB Puchong United unggul untuk memungut mata pendahuluan. Pasukan itu yang diwakili oleh Chou Tien Chen mudah menumpaskan wakil KB Muar, Zulfadli Zulkifli 11-4, 11-7, 11-8 (3-0).

Penguasaan terus memihak KB Puchong United dalam aksi perseorangan wanita. Kali ini pemainnya, Tai Tzu Ying, menewaskan wakil KB Muar, Shen Ya Ying, 11-7, 11-8, 11-9 (3-0) untuk mendahului selesa 6-0 keseluruhan.

Memasuki acara beregu lelaki, KB Muar, bagaimanapun, kembali bangkit. Mereka yang diwakili Lee Yong Dae-Arif Latiff menang tipis 11-10, 11-5, 7-11, 9-11, 8-7 (3-2) ke atas pasangan KB Puchong United, Lim Khim Wah-Tan Chee Tean.

Gandingan KB Puchong United dalam acara beregu campuran memastikan tiket mereka ke final SSPL dalam genggaman. Christinna Pedersen-Yoo Yeon Seong cemerlang apabila mengetepikan pasangan KB Muar, Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung 11-9, 11-9, 7-11, 11-4 (3-1).

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, nyata gembira selepas pasukannya menang dalam perlawanan tadi yang baginya satu tekanan cukup tinggi kepada pemain.

“Dari perlawanan pertama hingga terakhir tadi, tekanan sebenarnya sangat tinggi. Tapi kami berjaya mengutip mata demi mata dan saya percaya ini adalah kerana semangat berpasukan kami yang tinggi.

“Berdasarkan perlawanan hari ini, saya yakin kami mampu menjuarai saingan SSPL musim ini. Apapun, kami perlukan rehat yang cukup memandangkan pemain sangat penat selepas memberi komitmen yang begitu tinggi."

KB Puchong United akan menanti satu lagi pemenang separuh akhir di antara KB Bandar Utama Dragons dan KB Petaling Jaya yang membuat perhitungan malam ini.