Selepas mengharungi empat perlawanan dengan kemenangan bersih sebelum ini, Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya akhirnya terpaksa menelan kepahitan apabila rekod mereka dileburkan KB Puchong United.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Cyberjaya hari ini, KB Puchong United menang dengan keputusan 11-9, sekaligus memadam rekod tanpa kalah KB Petaling Jaya dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini.

Apapun, jurulatih KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya hari ini.

“Sebenarnya, kami kalah tapi kami tahu di atas kertas, KB Puchong United sememangnya lawan yang kuat buat kami. Kami kalah tipis 9-11 saja, bagi saya pemain sudah berikan yang terbaik tadi.

“Selepas ini, kami mungkin terpaksa membuat rombakan kerana ada pemain beregu yang menyertai kejohanan di luar.

"Kami akan berhadapan pasukan kuat seperti KB Petaling, KB Muar, KB Bandar Utama Dragons selepas ini, jadi kami perlu mencuri mata dan kekalkan kedudukan untuk layak ke saingan kalah mati,” ujar Kay Lun selepas tamat perlawanan.

Aksi perseorangan lelaki pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat apabila pertarungan di antara wakil KB Petaling Jaya, Satheistharan, dan wakil KB Puchong United, Chong Wei Feng, berkesudahan 7-11, 7-11, 11-10, 3-2 (2-2) dalam 30 minit permainan.

Selepas itu, Sayaka Takahashi meletakkan KB Puchong United di hadapan menerusi kemenangan 11-3, 8-11, 11-8, 9-4 (3-1) ke atas Sarita Suwannakitborihan dari KB Petaling Jaya dalam kategori perseorangan wanita.

Kategori beregu lelaki kemudiannya memperlihatkan wakil KB Petaling Jaya, Bodin Isara-Koo Kien Kiet, terpaksa berkongsi mata bersama pasangan KB Puchong United, Lee Jhe Huei-Lim Khim Wah.

Dalam perlawanan sengit itu, mereka menghabiskan tempoh 30 minit perlawanan dengan keputusan 11-9, 9-11, 11-10, 6-7 (2-2).

Dalam beregu campuran pula, Prajaktha Sawant-Tang Chun Man, yang mewakili KB Petaling Jaya sekali lagi terikat dengan keputusan seri ketika berhadapan Shevon Jemie Lai-Yoo Yeon Seong yang bermain untuk KB Puchong United.

Mereka terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan keputusan 9-11, 11-6, 6-11, 6-4 (2-2).

Dalam perlawanan perseorangan lelaki terakhir, pemain KB Puchong United, Wang Tzu Wei, dan pemain KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin, sekali lagi mengulangi keputusan seri dalam perlawanan ini.

Mereka menghabiskan permainan dengan keputusan 11-10, 10-11, 8-11, 1-0 (2-2).

SSPL peringkat round robin sedang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras dari 2 hingga 8 Januari.

Peringkat kalah mati melibatkan enam pasukan terbaik liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.

Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.