Kelab Badminton (KB) Puchong United mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir SS Purple League (SSPL) 2016/17 selepas mengatasi KB Ampang Jaya di Arena Of Stars, Resorts World Genting, sebentar tadi.

KB Puchong United bakal berdepan KB Muar yang telah layak secara automatik ke peringkat empat pasukan terakhir ini apabila menjuarai peringkat liga round robin SSPL sebelum ini.

KB Puchong United bermula garang dalam perseorangan lelaki pertama apabila pemain dari Chinese Taipei, Chou Tien Chen, berjaya membenam pemain KB Ampang Jaya, Ajay Jayaram 11-9, 11-8, 11-6 (3-0).

Selepas itu, dalam perseorangan wanita, KB Puchong United terus mengutip kemenangan. Kali ini giliran pemain wanita nombor satu dunia dari Chinese Taipei, Tai Tzu Ying, menumpaskan wakil KB Ampang Jaya, Xu Wei, 11-2, 8-11, 11-6, 9-11, 11-5 (3-2).

Dalam beregu lelaki, Lim Khim Wah-Tan Chee Tean, bagaimanapun, gagal untuk terus mengukuhkan kedudukan KB Puchong United apabila mereka tewas kepada pasangan KB Ampang Jaya, Lukhi Nugroho-Muhammad Syawal 11-8, 10-11, 6-11, 11-10, 7-11 (2-3).

Gandingan Christinna Pedersen-Yoo Yeon Seong dalam beregu campuran kembali bangkit untuk mengutip kemenangan buat KB Puchong United yang juga mata penting untuk mengesahkan kemaraan kelab itu ke separuh akhir SSPL.

Mereka menang 11-8, 11-4, 11-5 (3-0) ke atas Desiree Siow-Tan Yip Jiun dan menang 11-5 secara keseluruhan.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, nyata berpuas hati dengan kemenangan ini, namun tidak mahu mendabik dada menjelang pertemuan separuh akhir menentang KB Muar esok.

“Saya gembira dengan persembahan pemain hari ini kerana mereka mempersembahkan permainan yang begitu baik tetapi pemain perseorangan wanita dan beregu lelaki perlu memperkemaskan lagi permainan mereka. Saya akan melakukan perubahan terbaik untuk menentang KB Muar dalam separuh akhir esok.

“Tiada istilah mudah dalam peringkat ini kerana semua pasukan adalah kuat dan semua mata amat penting, tekanan juga pastinya tinggi. KB Muar juga pastinya melakukan pertukaran pemain, jadi saya rasa separuh akhir yang pasti mencabar esok,” ujar pengurus dari Rusia itu.

Pada sebalah malam nanti bakal menyaksikan satu lagi perebutan slot ke separuh akhir di antara KB Petaling dan KB Petaling Jaya.

Pasukan yang menang dalam perlawanan ini bakal berdepan KB Bandar Utama Dragons yang juga telah layak secara automatik ke separuh akhir apabila mengakhiri pusingan round robin di kedudukan kedua.

Dalam penentuan kedudukan ketujuh hingga ke-10 yang berlangsung tengah hari tadi, pasukan KB Serdang seri 9-9 dengan KB Bangsar Hawks. Apapun, kelebihan mata melayakkan KB Serdang yang akan bertemu KB Kepong pada Sabtu ini untuk penentuan tempat ke-7/8 manakala KB Bangsar Hawks yang tewas pula menghuni tangga kesembilan dan tangga terbawah dihuni oleh KB Klang City.