Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya terus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak SS Purple League (SSPL) 2016/17 apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan mengatasi KB Bangsar Hawks 13-6 dalam perlawanan yang berlangsung di Cyberjaya, hari ini.

Dalam saingan perseorangan lelaki pertama, Satheishtharan dari KB Petaling Jaya unggul untuk menewaskan Muhammad Syafiq dari KB Bangsar Hawks. Satheistharan menang 10-11, 11-7, 11-6, 9-7 (3-1), sekaligus menghadiahkan mata awal buat pasukannya.

Satheistharan nyata gembira dapat menyumbang mata kepada pasukan KB Petaling Jaya walaupun beraksi di bawah tahap sebenarnya dengan berkata, “Walaupun menang, sebenarnya saya beraksi dalam tekanan sebentar tadi kerana lawan saya adalah junior saya dan kami memang sudah tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Apapun, saya gembira kerana dalam setiap perlawanan setakat ini, saya dapat menyumbang mata maksimum kepada pasukan saya.

“Saya harap rakan sepasukan terus mengekalkan semangat berpasukan kerana itulah yang saya fikirkan kunci kekuatan KB Petaling Jaya setakat ini. Walaupun ada rakan sepasukan kalah, kami tetap memberi sokongan sesama rakan sepasukan,” ujar pemain muda kebangsaan itu.

KB Bangsar Hawks, bagaimanapun, kembali bangkit dalam kategori perseorangan wanita apabila Lee Ying Ying berjaya mengatasi pemain import KB Petaling Jaya dari Thailand, Supanida Katethong.

Pemain muda negara itu menang 11-10, 10-11, 11-9, 4-2 (3-1) untuk menyamakan kedudukan 4-4.

Selepas itu dalam kategori beregu lelaki, gandingan mantap Bodin Issara/Koo Kien Keat kembali meletakkan KB Petaling Jaya di depan. Gandingan Malaysia-Thailand itu mengalahkan beregu KB Bangsar Hawks, Mohamad Syazmil Idham/Muhammad Amzzar, 9-11, 11-7, 11-5, 11-4 (3-1).

Gandingan beregu campuran KB Petaling Jaya, Nipitphon Phuangphuapet-Prajaktha Sawant, mengukuhkan lagi kedudukan pasukan itu apabila menang mudah 11-6, 11-6, 11-3 (3-0) ke atas pasangan KB Bangsar Hawks, Du Yu Hang-Joyce Choong.

Kategori terakhir dalam perseorangan lelaki menyaksikan Goh Giap Chin terus mencatat kemenangan untuk pasukan KB Petaling Jaya dengan menumpaskan Chang Lip Seng 10-11, 11-4, 11-5, 11-5 (3-1) untuk kemenangan mutlak pasukannya.

Sebelum itu, pada sebelah tengah hari, KB Muar mengatasi KB Serdang dengan keputusan 12-6.

Kemenangan itu meletakkan KB Muar terus menjadi antara pencabar utama liga dan berpeluang cerah untuk ke saingan kalah mati enam pasukan terbaik SSPL nanti.

Saingan peringkat liga round robin SSPL sedang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya, dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras dari 2 hingga 8 Januari.

Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.

Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.


Keputusan penuh hari ini:

KB Muar BC kalahkan KB Serdang 12-6
MS2: Tan Chun Seang kalah kepada Lee Zii Jia 2-3 (11-5, 11-4, 7-11, 7-11, 3-4)
WS: Rusydina Antardayu kalahkan Lim Jee Lynn 3-0 (tarik diri)
MD: Hoon Thien How-Teo Kok Siang kalahkan Ooi Zi Heng-Tseng Min Hao 3-0 (11-5, 11-10, 11-8)
XD: Ardiansyah Putra-Lee Meng Yean kalah kepada Afiat Yuris Wirawan-Yap Cheng Wen 1-3 (6-11, 11-7, 8-11, 10-11)
MS1: Lee Hyun Il kalahkan Lu Chia Hung 3-0 (11-7, 11-3, 11-8)

KB Petaling Jaya kalahkan KB Bangsar Hawks 13-6
MS2: Satheishtharan kalahkan Muhammad Syafiq 3-1 (10-11, 11-7, 11-6, 9-7)
WS: Supanida Katethong kalah kepada Lee Ying Ying 1-3 (10-11, 11-10, 9-11, 2-4)
MD: Bodin Issara-Koo Kien Keat kalahkan Mohamad Syazmil Idham-Muhammad Amzzar 3-1 (9-11, 11-7, 11-5, 11-4)
XD: Nipitphon Phuangphuapet-Prajaktha Sawant kalahkan Du Yu Hang-Joyce Choong 3-0 (11-6, 11-6, 11-3)
MS1: Goh Giap Chin kalahkan Chang Lip Seng 3-1 (10-11, 11-4, 11-5, 11-5)