Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya berjaya meraih satu lagi tempat ke separuh akhir SS Purple League (SSPL) 2016/17 selepas mengenepikan cabaran KB Petaling 12-11 dalam perlawanan penuh sengit di Arena Of Stars, Resorts World Genting sebentar tadi.

Mereka dijadualkan berentap dengan KB Bandar Bandar Utama Dragons yang telahpun layak secara automatik ke separuh akhir esok.

Dalam perseorangan lelaki pertama, Liew Daren terlebih dahulu berjaya memungut mata buat KB Petaling, Dia mengatasi Dani Harsheel dengan keputusan 11-6, 8-11, 3-11, 11-10, 5-4 (3-2) dalam 30 minit permainan.

Selepas itu, dalam acara perseorangan wanita KB Petaling Jaya berjaya bangkit apabila Deng Xuan mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Wang Yihan dari China yang mewakili KB Petaling. Dia menang 11-4, 4-11, 11-9, 2-11, 11-7 (3-2).

Dalam beregu lelaki, KB Petaling Jaya sekali lagi garang. Kali ini giliran gandingan Koo Kien Kiet/ Kim Sa Rang pula menewaskan gandingan KB Petaling, Goh V Shem/ Chen Tang Jie dengan kiraan 11-7, 4-11, 11-6, 11-9 (3-1).

Bagaimanapun, gandingan beregu campuran KB Petaling, Riky Widianto/ Zhao Yunlei berjaya bangkit menyamakan kedudukan keseluruhan menjadi 9-9. Mereka mengatasi gandingan KB Petaling Jaya, Lim Chiew Sin/ Shin Baek Cheol 11-2, 11-8, 9-11, 11-2 (3-1).

Dalam acara penentuan iaitu dalam perseorangan lelaki terakhir, Goh Giap Chin muncul wira pasukannya apabila berjaya menang dalam perlawanan sengit mengatasi pemain KB Petaling, Kenichi Tago 11-9, 6-11, 11-4, 6-11, 11-3 (3-2).

Giap Chin nyata gembira dengan kemenangan tersebut dan bagi pemain itu statusnya selaku underdog tidak memberikan tekanan kepadanya sekaligus membolehkannya beraksi dengan begitu baik.

Dia berkata, “Saya telah memerhatikan cara permainan Kenichi Tago sebelum ini. Lagipun saya rasa inilah permainan terbaik saya dan apabila berjaya mendahului lawan, saya semakin mendapat keyakinan sementara dia semakin tertekan.

“Saya harap dapat mengulangi persembahan seperti ini di separuh akhir dan dapat membawa pasukan KB Petaling Jaya ke final SSPL tahun ini.”

Satu lagi persaingan ke separuh akhir SSPL pada sebelah petang tadi menyaksikan KB Puchong United mara untuk bertemu KB Muar esok. Dalam perlawanan tadi, KB Puchong United berjaya membenam KB Ampang Jaya dengan keputusan 11-5.

Dalam penentuan kedudukan ketujuh-sepuluh yang berlangsung tengah hari tadi, pasukan KB Serdang seri 9-9 dengan KB Bangsar Hawks. Apapun kelebihan mata melayakkan KB Serdang yang akan bertemu KB Kepong pada Sabtu ini untuk penentuan tempat ke 7/8 manakala KB Bangsar Hawks yang tewas pula menghuni tangga kesembilan dan tangga terbawah dihuni oleh KB Klang City.