SSPL: KB Petaling himpit pendahulu liga

By Shaiful Shamsudin 4 January 2017
SSPL: KB Petaling himpit pendahulu liga
Kelab Badminton (KB) Petaling semakin menghampiri pendahulu SS Purple League (SSPL), KB Muar, selepas mencatatkan kemenangan ke atas KB Bangsar Hawks dalam perlawanan ketujuh liga di Cheras, hari ini. 

Kelab bimbingan Yap Kim Hock itu kini mengumpul 73 mata di tangga kedua dan hanya dipisahkan dengan lima mata di belakang pendahulu liga. 

Turun berdepan KB Bangsar Hawks dalam pertarungan yang berlangsung sengit, KB Petaling mengatasi kelab itu 11-8.

KB Petaling terlebih dahulu berada di depan menerusi kategori perseorangan lelaki. Pemain dari Jepun, Kenichi Tago, mengutip mata buat KB Petaling apabila menang ke atas wakil KB Bangsar Hawks, Du Yu Hang, 11-7, 11-6, 11-4 (3-0).

Apa pun, KB Bangsar Hawks bangkit untuk mengutip mata kemenangan dalam perseorangan wanita apabila wakilnya, Lee Ying Ying, mudah menumpaskan pemain KB Petaling, Lim Yin Fun, 11-4, 11-6, 11-9 (3-0).

Selepas itu, kategori beregu lelaki pula menyaksikan penguasaan semula KB Petaling menerusi pasangannya, Andrei Adistia-Chen Tang Jie, dengan menewaskan Irfan Fadhilah-Loh Kean Hean 11-7, 11-10, 9-11, 5-11, 8-6 (3-2) dalam masa 30 minit untuk KB Petaling mendahului 6-5.

Gandingan beregu campuran KB Bangsar Hawks, Joyce Choong-Pei Tian Yi, tidak mudah berputus asa dan kembali mengubah kedudukan mata selepas itu. 

Mereka menewaskan gandingan Agripinna Prima-Devi Tika Permatasari 9-11, 11-9, 4-11, 11-10, 5-4 (3-2).

Apa pun, KB Petaling nyata lebih berhak untuk memenangi perlawanan. 

Dalam kategori perseorangan lelaki terakhir, KB Petaling yang diwakili oleh pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, muncul wira kelabnya selepas menewaskan wakil KB Bangsar Hawks, Thomi Azizan dari Indonesia, 11-2, 11-7, 11-3 (3-0).

Kim Hock yang ditemui selepas perlawanan nyata lega walaupun anak buahnya terpaksa berhempas-pulas untuk menang. 

"Kami mahu menang hari ini. 

"Apa pun, Bangsar Hawks memberikan tentangan yang cukup sengit sehingga kemenangan terpaksa ditentukan dalam kategori perseorangan lelaki terakhir.

“Kami belum sampai sasaran untuk layak dan kami perlu berhati-hati ketika bertemu KB Ampang Jaya dan KB Puchong United dalam perlawanan terakhir nanti,” ujar bekas jurulatih kebangsaan itu.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment