Berbaki hanya dua lagi perlawanan peringkat round robin SS Purple League (SSPL) musim ini, Kelab Badminton (KB) Muar sudah boleh menarik nafas lega apabila kedudukan mereka semakin kukuh dengan mengumpul 78 mata, sekaligus berpeluang cerah ke peringkat kalah mati.

Bertemu KB Petaling Jaya, pasukan KB Muar berjaya membenam kelab itu 13-5 di Cheras, hari ini.

Kategori perseorangan lelaki menyaksikan KB Muar berjaya mencatat kemenangan awal. Mereka yang diwakili Zulfadli Zulkifli berjaya menumpaskan KB Petaling Jaya yang diperkuatkan oleh Goh Giap Chin 11-9, 11-6, 11-6 (3-0).

Pemain dari Jepun, Saena Kawakami, terus mengukuhkan lagi kdudukan KB Muar selepas itu apabila dia menang 11-9, 11-7, 10-11, 4-3 (3-1) dalam kategori perseorangan wanita dengan mengatasi pemain KB Petaling Jaya dari Thailand, Sarita Suwannakitborihan.

Selepas itu, giliran gandingan Teo Ee Yi-Teo Kok Siang pula menghadiahkan mata buat KB Muar apabila menundukkan Koo Kien Kiet-Or Chin Chung 11-10, 8-11, 11-6, 11-6 (3-1).

Dalam beregu campuran selepas itu, KB Petaling Jaya merapatkan kutipan mata apabila pasangan mereka, Tang Chun Man-Woon Khe Wei, menumpaskan Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung 11-8, 8-11, 11-10, 10-8 (3-1).

Lee Hyun Il terus cemerlang apabila melengkapkan kemenangan KB Muar dalam perseorangan lelaki. Dia tidak bermasalah menumpaskan pemain KB Petaling Jaya dari Thailand, Khosit Phetpradap, 11-9, 11-7,11-6 (3-0).

Jurulatih KB Muar, Nova Armada, berkata dia sememangnya berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang semakin meningkat dalam setiap perlawanan.

"Saya berasa lega dengan prestasi semasa pasukan untuk kelayakan round robin ini kerana sasaran utama kami sememangnya untuk layak ke saingan kalah mati di Genting Highlands.

“Hari ini juga kami menang besar walaupun kami hanya menyasarkan seri.

"Jadi, untuk baki perlawanan, saya cuma berharap pemain-pemain mampu kekal konsisten dan melakukan terbaik bagi memastikan KB Muar menang dalam setiap perlawanan,” ujar bekas pemain Indonesia itu.