Kelab Badminton (KB) Muar menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati SS Purple (SSPL) musim ini selepas mengatasi KB Bangsar Hawks, hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium KLBA, Cheras itu, KB Muar mengatasi KB Bangsar Hawks 14-4 untuk mengumpul 92 mata dan berada pada ranking teratas liga selepas mengharungi lapan perlawanan.

Walaupun masih berbaki satu lagi perlawanan liga round robin, mengikut kiraan mata pasukan itu sudah pasti akan kekal dalam kelompok enam pasukan teratas SSPL walau apa jua keputusan yang berlaku dalam perlawanan terakhir nanti.

Wakil KB Muar dalam perseorangan lelaki pertama, Tan Chun Seang, terlebih dahulu mencuri mata kemenangan buat pasukannya.

Dalam tempoh masa 16 minit, dia menewaskan wakil KB Bangsar Hawks, Chian Chin Yong, 11-3, 11-8, 11-2 (3-0).

Pemain import KB Muar dari Indonesia, Rusydina Antardayu, terus selesa menghadiahkan mata kemenangan kepada pasukannya dalam perseorangan wanita dengan menewaskan pemain KB Bangsar Hawks, Lee Ying Ying, 11-4, 11-8, 11-7 (3-0).

Bagaimanapun, KB Bangsar Hawks berjaya bangkit dalam kategori beregu lelaki selepas gandingan Irfan Fadhilah-Syazmil Idham menewaskan pasangan KB Muar, Hoon Thien How-Teo Kok Siang, 11-8, 11-9, 7-11, 5-11, 6-3 (3-2) dalam pertarungan 30 minit.

Pasangan Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung terus meletakkan KB Muar cemerlang dalam kategori beregu campuran apabila menundukkan Joyce Choong-Pei Tian Yi 10-11, 11-6, 11-9, 11-4 (3-1).

Lee Hyun Il melengkapkan kemaraan pasukan KB Muar dalam kategori perseorangan lelaki terakhir selepas dia menumpaskan wakil KB Bangsar Hawks, Thomi Azizan Mahbub, 11-3, 11-3, 11-4 (3-0).

Ketua jurulatih KB Muar, Nova Armada, nyata lega tetapi tetap mahu anak buahnya menang dalam perlawanan terkahir liga selepas ini.

"Perlawanan hari ini memang kami menyasarkan untuk mengumpul 13 atau 14 mata dan ia sudah tercapai. Jadi, kami sudah layak ke peringkat kalah mati di Genting Highlands nanti.

“Walau apapun, dalam baki satu perlawanan terakhir menentang KB Puchong United, kami tetap akan menurunkan barisan pemain terbaik kerana kami mahu mencapai sasaran berada dalam dua kedudukan teratas liga,” kata bekas pemain Indonesia itu.

Enam pasukan yang berada di kedudukan enam teratas SSPL akan layak ke peringkat kalah mati.

Baki perlawanan SSPL sedang dilangsungkan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras manakala peringkat kalah mati pula akan diadakan di Genting Highlands dari 9 hingga 12 Februari ini.