Kelab Badminton (KB) Muar tidak kisah siapa lawan yang mereka bakal temui di peringkat separuh akhir SS Purple League (SSPL) musim ini, sebaliknya mahu fokus untuk mencari kejuaraan ketiga berturut-turut dalam kejohanan ini.

Selepas undian semalam, pasukan yang dahulunya dikenali sebagai KB Muar City ini diundi untuk bertemu sama ada Kelab Badminton (KB) Puchong United ataupun KB Ampang Jaya di peringkat separuh akhir SSPL yang akan berlangsung bulan depan.

Dalam aksi peringkat liga round robin lalu, KB Muar beraksi cemerlang untuk muncul juara peringkat liga dan secara automatik layak ke separuh akhir SSPL.

Jurulatih KB Muar, Nova Armada, ketika dihubungi berkata dia tidak kisah bertemu mana-mana pasukan tetapi lebih berasakan KB Puchong United bakal menjadi lawan mereka.

“Bagi saya, besar kemungkinan kami akan berjumpa KB Puchong United dalam separuh akhir nanti.

"Mereka memiliki ramai pemain tempatan yang bagus, ditambah pula jendela perpindahan pemain SSPL kembali dibuka, jadi sudah tentu mereka akan mendapatkan pemain-pemain berkualiti.

“Bagi KB Muar, kami juga sedang mencari pemain baru untuk memantapkan pasukan.

"Kami sedang mengintai pemain beregu dari Korea Selatan, apapun ia akan ditentukan sedikit masa lagi,” ujar jurulatih yang telah tiga musim bersama pasukan dari Johor itu.

Walaupun sudah layak automatik ke separuh akhir, KB Muar tetap merendah diri dan menganggap semua pasukan mempunyai peluang yang sama rata untuk layak ke final.

Namun, jurulatih itu tetap menyimpan harapan pasukannya akan mengecapi kejayaan hatrik musim ini.

“Bagi kami, separuh akhir nanti bukanlah sesuatu yang mudah untuk ke final.

"Apapun, kami berharap KB Muar akan memberikan aksi terbaik dan seterusnya mengulangi pencapaian seperti yang dilakukan pada dua musim berturut-turut sebelum ini,” ujar jurulatih dari Indonesia itu.

Dalam satu lagi undian, KB Bandar Utama Dragons, yang juga layak secara automatik ke separuh akhir apabila menduduki tempat kedua liga, dijadualkan bertemu dengan KB Petaling atau KB Petaling Jaya nanti.


Jadual penuh SSPL 2016/17 Peringkat Kalah Mati:

Undian Pasukan Enam Teratas
9 Februari 2017 (Khamis)
(4pm) KB Puchong United lwn KB Ampang Jaya

(8pm) KB Petaling lwn KB Petaling Jaya

10 Februari 2017 (Jumaat)
(4pm) Saparuh akhir #1: KB Muar lwn Puchong United /KB Ampang Jaya

(8pm) Separuh akhir #2: KB BU Dragons lwn KB Petaling /KB Petaling Jaya

12 Februari 2017 (Ahad)
(2pm) Final


Undian Empat Pasukan Terbawah Liga:
9 Februari 2017 (Khamis)
(12pm) KB Kepong lwn KB Klang City

10 Februari 2017 (Jumaat)
(12pm) KB Serdang lwn KB Bangsar Hawks

12 Februari 2017 (Ahad)
(10am) KB Kepong /KB Klang City lwn KB Serdang /KB Bangsar Hawks