Selepas prestasi kurang konsisten dengan hanya satu kemenangan dan dua kekalahan sebelum ini, Kelab Badminton (KB) Kepong kini kembali ke landasan untuk memburu kedudukan enam terbaik liga, sekaligus layak ke peringkat kalah mati SS Purple League (SSPL) musim ini.

Mereka yang begitu memerlukan kemenangan, berjaya mengatasi KB Petaling 13-5, sebentar tadi.

Dalam kategori perseorangan lelaki pertama, pemain negara yang mewakili KB Petaling, Liew Daren, sekadar berkongsi mata dengan lawannya dari KB Kepong, Lim Chi Wing.

Mereka terikat dengan keputusan 11-8, 4-11, 11-10, 3-4 (2-2) dalam 30 minit.

Selepas itu dalam kategori perseorangan wanita pula, KB Kepong berjaya mengutip mata kemenangan apabila pemain import, Ongbamrungphan Busanan, menang mudah 11-8, 11-8, 11-4 (3-0) mengatasi wakil KB Petaling, Hera Desiana Rachmawati.

Gandingan Anders Rasmussen-Tan Chee Tean dalam kategori beregu lelaki terus menghadiahkan mata kemenangan kepada pasukan KB Kepong. Mereka berjaya menumpaskan pasangan KB Petaling, Andrei Adistia-Goh V Shem, 10-11, 11-9, 11-9, 6-5 (3-1).


Persaingan sengit dalam beregu campuran menyaksikan kedudukan sekali lagi berakhir dengan keputusan seri.

Agripinna Prima-Devi Tika Permatasari yang mewakili KB Petaling terikat 2-2 dengan keputusan 11-6, 7-11, 11-8, 7-8 ketika menentang Chayanit Chaladchalam-Mohd Razif Latif.

Dalam kategori perseorangan lelaki terakhir, Thongnuam Phanawit terus memberikan kemenangan mutlak buat KB Kepong apabila pemain itu tidak bermasalah menumpaskan pemain KB Petaling, Iskandar Zulkarnain, 11-10, 11-8, 11-6 (3-0).

Menurut jurulatih KB Kepong, Zakry Abdul Latif, kemenangan ini tiba tepat pada masanya ketika pasukannya memerlukan kemenangan penting.

“Kemenangan penting yang begitu baik untuk pasukan KB Kepong kerana sebelum ini kami masih tercari-cari rentak permainan.

“Kali ini kami turun dengan skuad penuh dengan ketibaan beberapa pemain import yang tidak beraksi sebelum ini, jadi ia satu kejutan dapat mengalahkan KB Petaling yang bukan calang-calang pasukan," katanya.

Zakry turut memuji prestasi pemainnya yang baru bermain kali pertama dalam perlawanan hari ini.

“Saya tidak menolak ketibaan pemain, iaitu Busanan, Chayanit dan Rasmussen memberi impak besar kepada pasukan hari ini.

"Saya harap semua pemain akan kekalkan momentum dan lebih bersemangat serta peka selepas ini dalam memburu ranking terbaik liga untuk layak ke saingan kalah mati,” ujar bekas pemain beregu kebangsaan itu.

KB Kepong dan KB Petaling masing-masing telah melalui empat perlawanan setakat ini dan baki lima lagi perlawanan akan menentukan enam pasukan teratas yang bakal layak beraksi di peringkat kalah mati di Genting Highlands pada Februari nanti.