Kelab Badminton (KB) Muar memimpin enam pasukan mengesahkan kedudukan dalam peringkat kalah mati bagi merebut kejuaraan SS Purple League (SSPL) musim ini selepas tamat saingan liga round robin di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Turut mengiringi Kelab Badminton (KB) Muar selaku pasukan di tangga teratas ialah KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Ampang Jaya dan KB Petaling.

KB Bandar Utama Dragons yang beraksi dalam perlawanan terakhir malam tadi, menang ke atas KB Bangsar Hawks 14-2. Keputusan itu membolehkan mereka melonjak dari tangga keenam liga ke tangga kedua dengan mengumpul 97 mata.

Kelab dari Lembah Klang itu menang dalam acara perseorangan lelaki pertama yang diwakili oleh Goh Soon Huat, seri dalam perseorangan wanita melalui Goh Jin Wei, serta menang dalam beregu lelaki menerusi gandingan Chooi Kah Meng-Mak Hee Chun.

Dalam kategori beregu campuran yang diwakili Chow Mei Kuan-Tan Kian Meng, mereka juga mencatat kemenangan dan pemain perseorangan lelaki terakhir, Wei Nan, turut menang dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, sekaligus melengkapkan malam cemerlang kelab itu.

Menurut pengurus KB Bandar Utama Dragons, Jason Wong, melonjak ke tangga kedua untuk layak secara automatik ke separuh akhir SSPL adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan.

“Pemain kami memang bermain bagus tadi, mereka berjaya mengatasi tekanan kerana kami sangat memerlukan 12 mata. Mereka berjaya melakukannya untuk pasukan melonjak ke tangga kedua dan layak secara automatik ke separuh akhir.

“Memandangkan kami sudah ke separuh akhir, saya harap pemain akan mengekalkan semangat berpasukan yang menjadi kunci kemenangan kami selama ini dan terus mempamerkan aksi terbaik, seterusnya layak ke final,” ujar Jason selepas perlawanan.

Pada sebelah petang semalam pula, KB Petaling Jaya melengkapkan perlawanan pusingan round robin dengan menewaskan KB Serdang 13-5.

Bagi jurulatih KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, dia agak kecewa pasukannya gagal menempatkan diri dalam kedudukan dua teratas.

“Kami sebenarnya mengharapkan untuk mengutip 15 mata dalam perlawanan terakhir tadi, namun perseorangan wanita gagal bermain baik hari ini. Apapun, mereka telah mencuba yang terbaik dan saya harap kami lebih cemerlang di Genting Highlands nanti.

“Kami akan terus menjalani latihan selepas ini sebagai persediaan menghadapi peringkat terakhir Purple League di Genting Highlands dan saya harapkan pasangan beregu dari Korea Selatan yang akan bersama pasukan nanti akan memperkuatkan lagi pasukan KB Petaling Jaya, sekaligus mampu menjadi juara,”ujar Kay Lun.

Sebelum itu, dalam satu lagi perlawanan tengah hari semalam, KB Kepong menamatkan saingan round robin dengan kemenangan 11-7 ke atas KB Klang City. Namun, mereka sekadar berada di tangga ketujuh, sekaligus terkeluar daripada saingan untuk memburu kejuaraan.

Selepas tamat saingan liga, peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan teratas liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini.

Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga ke-10. Undian pasukan yang beraksi di peringkat kalah mati akan diadakan Rabu ini di Pearl International Hotel, Kuala Lumpur.

Keputusan SSPL 2016/17 (8 Januari 2017)

(12pm) KB Klang City BC kalah kepada KB Kepong 7-11
MS2: Muhd Umar Al-Qhatab kalah kepada Lim Chi Wing 0-3 (9-11, 3-11, 4-11)
WS: Thinaah Muralitharan kalahkan Moe Araki 3-0 (11-8, 11-8, 11-0 Retired)
MD: Low Hang Yee-Tan Swee Seng kalah kepada Hendra Aprida Gunawan-Mohd Razif Ab Latif 0-3 (2-11, 7-11, 2-11)
XD: Muhammad Sufiyuddin-Tan Sueh Jeou kalah kepada Peck Yen Wei-Tan Chee Tean 1-3 (8-11, 7-11, 11-10, 10-11)
MS1: Chin Wai Kin kalahkan Thongnuam Pannawit 3-2 (11-5, 11-8, 9-11, 9-11, 6-3)

(4pm) KB Petaling Jaya BC kalahkan KB Serdang 13-5
MS2: Goh Giap Chin kalahkan Derek Yeoh 3-0 (11-5, 11-5, 11-3)
WS: Deng Xuan kalahkan Shen Yabing 3-0 (11-9, 11-8, 11-9)
MD: Koo Kien Keat-Or Chin Chung kalahkan Ong Wei Khoon-Sim Fong Hau 3-0 (11-5, 11-5, 11-4)
XD: Tang Chun Man-Woon Khe Wei kalahkan Ooi Zi Heng-Yap Cheng Wen 3-2 (11-8, 11-7, 9-11, 10-11, 6-5)
MS1: Khosit Phetpradab kalah kepada Yu Chen 1-3 (3-11, 11-7, 6-11, 6-11)

(8pm) KB Bangsar Hawks BC kalah kepada KB BU Dragons 2-14
MS2: Chian Chin Yong kalah kepada Goh Soon Huat 0-3 (1-11, 5-11, 4-11)
WS: Lee Ying Ying seri dengan Goh Jin Wei 2-2 (11-8, 8-11, 11-9, 4-11)
MD: Gao Xiang Cheng-Pei Tian Yi kalah kepada Chooi Kah Ming-Mak Hee Chun 0-3 (10-11, 4-11, 6-11)
XD: Joyce Choong-Mohamad Syazmil Idham kalah kepada Chow Mei Kuan-Tan Kian Meng 0-3 (8-11, 8-11, 5-11)
MS1: Thomi Azizan Mahbub kalah kepada Wei Nan 0-3 (8-11, 7-11, 6-11)