Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya berharap kehadiran dua muka baru semasa jendela perpindahan SS Purple Leaague (SSPL) dapat membantu kelab itu mara lebih jauh dalam pusingan kalah mati musim ini.

KB Ampang Jaya yang menghuni tangga kelima di pusingan round robin SSPL membawa masuk pemain dari India dan Vietnam bagi memperkuatkan pasukan itu.

Jurulatihnya, Ho Khek Mong, berkata, “Untuk peringkat kalah mati Purple League di Genting Highlands nanti, kami masih dalam persiapan dengan memperbaiki kelemahan pasukan ketika ini seperti dalam perseorangan lelaki.

“Sebab itulah, semasa jendela perpindahan yang dibuka baru-baru ini, kami telah mendapatkan dua pemain import baru masing-masing dari India dan Vietnam untuk memperkuatkan pasukan.

"Mereka adalah Ajay Jayaram dan juga Nguyen Tien Minh,” kata Khek Mong.

Mengulas pertemuan dengan menentang KB Puchong United di peringkat kalah mati nanti, Khek Mong, berkata, “Saya berasakan peluang adalah 50-50 di mana mereka mempunyai kekuatan di dalam pemain perseorangan, manakala kami tetap yakin pemain beregu kami seperti Lukhi Nugroho dan Muhammad Syawal akan menyumbang mata buat pasukan.

“Sebab itulah saya membawa masuk pemain perseorangan lelaki kerana kami ingin mencuri mata daripada acara itu sambil mengharapkan pemain beregu konsisten dalam mendapatkan kemenangan kepada pasukan.

"Apapun saya mengharapkan persembahan terbaik nanti daripada pemain untuk membantu pasukan KB Ampang Jaya layak ke final SSPL."

Tambah jurulatih itu lagi, kehadiran pemain importnya bukan sahaja penting untuk saingan SSPL, malah mereka juga berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain junior kelab itu.

“Mereka akan hadir semiggu sebelum pusingan kalah mati bermula di mana mereka juga akan berlatih bersama pemain-pemain junior kelab ini.

"Jadi, kami yakin dengan kehadiran pemain-pemain luar ini akan memberikan satu pendedahan berguna kepada pemain muda untuk menjadi pemain berkualiti kepada kelab ini pada masa depan."