Jurulatih Kelab Badminton (KB) Petaling, Yap Kim Hock, mengharapkan kehadiran Datuk Lee Chong Wei akan menghadiahkan kemenangan buat pasukan itu, sekaligus layak ke peringkat kalah mati SS Purple League (SSPL) musim ini.

Bertemu KB Ampang Jaya pada Sabtu ini yang juga merupakan perlawanan terakhir peringkat liga, Chong Wei akan melakukan penampilan sulungnya dalam kempen SSPL musim ini bersama KB Petaling.

Kim Hock berkata, kehadiran jaguh badminton negara itu sudah pasti akan menyuntik semangat pasukannya yang masih memerlukan kemenangan dalam baki dua perlawanan peringkat terakhir.

"Ya, sudah pasti Chong Wei akan diturunkan buat kali pertama apabila kami berjumpa KB Ampang Jaya.

"Kami harap dia dapat memberikan mata kepada pasukan dan paling penting, motivasi pasukan juga pastinya lebih tinggi dengan kehadirannya.

“Apapun, dia tidak akan bermain dalam perseorangan lelaki tapi akan digandingkan dengan pemain wanita dari China, Zhao Yunlei, dalam perlawanan itu," kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Selain itu, Kim Hock juga berkata pasukannya akan menurunkan barisan pemain terbaik dalam baki dua perlawanan kerana pungutan mata pasukannya belum selamat untuk layak ke Genting Highlands bagi peringkat kalah mati nanti.

"Kami akan letakkan barisan terkuat apabila menentang KB Ampang Jaya, jadi peluang pastinya lebih besar untuk menang dan mencapai sasaran berada dalam kelompok enam pasukan teratas liga musim ini, sekaligus layak ke peringkat seterusnya,” ujar Kim Hock selepas menang bertemu KB Bangsar Hawks, semalam.