SS Purple League (SSPL) kali ini dijangka lebih menarik dengan penyertaan ramai pemain badminton berpengalaman dan terkemuka dunia dari dalam dan luar negara.

Walaupun baru memasuki edisi ketiga, namun kejayaan SSPL 2016 menarik penyertaan pemain dari 13 negara nyata membuktikan betapa elitnya liga ini.

Di samping itu, pemain-pemain luar yang hadir juga merupakan pemain-pemain yang pernah mencipta nama meraih kejuaraan Olimpik seperti Markis Kido dari Indonesia, Lee Hyo Jung dari Korea Selatan dan Zhao Yun Lei dari China.

Selain itu, antara pemain ternama yang bakal “berkumpul” untuk menyertai SSPL kali ini adalah pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem dan Zhao Yunlei yang bermain bersama Kelab Badminton(KB) Petaling.

Pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen, dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik lalu, Goh Liu Ying, pula akan memperkuatkan pasukan KB Puchong United. Tan Boon Heong, Chan Peng Soon dan Zulfadli Zulkifli pula bakal bermain untuk pasukan KB Muar.

Pemain berpengalaman seperti Hendra Gunawan pula bermain untuk KB Kepong manakala Markis Kido dan Tan Wee Kiong bermain untuk KB BU Dragons.

Seorang lagi pemain ternama Indonesia, Sony Dwi Kuncoro, pula bakal beraksi untuk KB Petaling Jaya.

Ia nyata satu kelebihan buat pemain tempatan bukan sahaja yang sudah menempa nama, malah kepada bintang muda yang baru meningkat naik untuk mencari pengalaman.

Melalui persaingan kompetitif antara pemain tempatan dan pemain import hebat yang beraksi, SSPL adalah satu medan terbaik untuk pemain mengekalkan konsistensi dalam permainan serta meningkatkan lagi kualiti yang dimiliki mereka di samping peluang kepada peminat badminton negara menyaksikan pasukan dan pemain kesayangan mereka dengan lebih dekat.

Lebih menarik, SSPL turut mendapat pujian dan galakan daripada Poul- Erik Hoyer Larsen yang merupakan Ahli Majlis, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Purple League Malaysia, Datuk Jack Koh, optimis untuk mencapai objektif beliau dalam merapatkan jurang di antara pemain serta peminat badminton, sama ada di dalam atau luar negara.

“Ramai pemain badminton terkemuka menyertai liga ini dan sudah tentu ia akan mewujudkan saingan yang kompetitif dalam SSPL.

"Selain itu, kami mahu orang Malaysia menjadi sebahagian daripada sukan terkenal di dunia ini kerana saya percaya, kita berasa bangga dengan sukan badminton yang telah merangkul beberapa pencapaian di peringkat dunia.

“SSPL juga menampilkan barisan pemain bintang yang bakal beraksi pada musim ini. Jadi, peminat tidak perlu pergi jauh untuk menyaksikan permainan berkualiti tinggi yang dipamerkan oleh pemain pujaan mereka,” ujarnya.

Sepuluh kelab yang akan menyertai SSPL 2016 adalah Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya, KB Klang City, KB Serdang, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Petaling, KB Muar, KB Kepong, KB BU Dragons, dan KB Bangsar Hawks.

Beberapa pemain remaja berbakat besar yang baru menyertai Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF di Sepanyol awal bulan lalu seperti Lee Zii Jia, Soh Wooi Yik, Ooi Zi Heng, dan Sim Fong Hau juga bakal bermain dalam SSPL 2016. Mereka akan beraksi bersama KB Serdang nanti.

Pemain remaja nombor satu dunia, Goh Jin Wei, pula beraksi untuk KB BU Dragons. Leong Jun Hao, Thinaah Muralitharan, Kisona Selvaduray (KB Klang City) dan Chen Tang Jie beraksi bersama pasukan KB Petaling. Mereka semua adalah pemain yang beraksi dalam Junior Purple League 2016 dan SSPL kali ini pastinya satu cabaran dan pengalaman sebenar untuk mereka.

Peringkat pusingan awal round-robin akan berlangsung di Gem In Mall Cyberjaya dan Stadium KLBA manakala peringkat kalah mati pula bakal berlangsung di Genting Highlands.