Kejohanan SS Purple League (SSPL) musim ini nyata cukup meriah biarpun juara sebenar hanya akan dinobatkan di peringkat kalah mati yang akan berlangsung di Genting Highlands, bulan hadapan.

Dalam aksi terakhir beberapa pasukan yang memburu kedudukan enam terbaik liga round robin untuk ke saingan berikutnya semalam, Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras dipenuhi ribuan penonton yang hadir menyaksikan kejohanan liga badminton profesional Malaysia itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung petang semalam, KB Muar mengesahkan kedudukan selaku juara peringkat liga round robin selepas mengatasi KB Puchong United 11-8.

Begitu juga dengan KB Bandar Utama Dragons yang mengesahkan slot ke peringkat kalah mati selepas menumpaskan KB Petaling Jaya 13-8 tengah hari semalam.

Datuk Wira Lee Chong Wei yang turun dalam perlawanan sebelah malam pula mewakili kelabnya, KB Petaling, berdepan KB Ampang Jaya. Dia tidak beraksi dalam perseorangan lelaki, sebaliknya bergandingan dengan pemain dari China, Zhao Yunlei, dalam beregu campuran.

Gandingan Lee Chong Wei-Zhao Yunlei dengan mudah membenam cabaran lawan mereka dari KB Ampang Jaya. Kedua-dua pemain yang pernah meraih pingat Olimpik itu menang 11-6, 11-8, 11-4 (3-0) menewaskan Tan Wei Han-Terry Hee Yong Kai.

Mereka memperagakan aksi cukup menarik menceriakan ribuan penonton yang hadir memenuhi ruang tempat duduk di stadium berkenaan.

Chong Wei berkata dia terkejut dengan atmosfera itu dan mengharapkan penyokong akan terus memberikan sokongan kepada Purple League.

“Saya begitu teruja dengan kehadiran penonton yang ramai malam ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran semua penyokong yang hadir menyokong saya dalam Purple League malam ini.

“Saya beraksi dalam beregu campuran tadi dan bergandingan dengan pemenang pingat emas Olimpik, Zhao Yunlei.

"Walaupun tidak beraksi dalam perseorangan lelaki, saya gembira ramai penyokong masih menyokong aksi saya sebentar tadi dan saya harap boleh bergandingan lagi dalam perlawanan liga akan datang,” ujar Chong Wei selepas tamat perlawanan.

Enam pasukan di tangga teratas peringkat liga round robin yang sudah mengesahkan tempat ke Genting Highlands adalah KB Muar, KB Puchong United, KB Ampang Jaya, KB Petaling, KB Bandar Utama Dragons dan KB Petaling Jaya. Mereka akan berentap memburu kejuaraan SSPL di peringkat kalah mati nanti.

Selepas tamat saingan liga, peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan teratas liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini.

Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh.

Tiket boleh didapati secara di atas talian melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.