Selepas menjuarai Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia tempoh hari, gandingan beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai, mengidamkan untuk meneruskan rentak kejayaan di Terbuka Scotland pula.

Baru sahaja digandingkan sejak dua bulan lalu, pasangan itu sudah menunjukkan keserasian di dalam gelanggang.

Dengan kejayaan sulung mereka dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia menjadi pembakar semangat, beregu negara itu mahu mendakap lebih banyak trofi dan destinasi seterusnya ialah Scotland pada 27 November ini.

"Saya melihat ramai pencabar di Scotland nanti, perlawanan juga bakal menjadi sengit.

"Kami bakal bermain di peringkat kelayakan terlebih dahulu dan kami mempunyai dua perlawanan yang perlu diharungi.

"Bagaimanapun, kami akan memberikan fokus kepada satu perlawanan demi satu perlawanan," ujar Soon Huat.

Malaysia kini boleh berbangga kerana selain Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, serta Tan Kia Meng dan Lai Pei Jing, kini muncul pula satu lagi gandingan baru pada Soon Huat dan Shevon untuk terus menggalas cabaran negara.

Keunikan gandingan itu adalah Soon Huat seorang pemain tangan kanan manakala Shevon pula pemain kidal, memberikan mereka kelebihan untuk mengatasi lawan.

"Sudah tentu menggunakan tangan kiri memberikan kelebihan yang cukup besar kerana kurang pemain badminton yang menggunakan tangan kiri.

"Corak permainan kami juga berbeza daripada kebanyakan beregu. Kelebihan kami berdua adalah pukulan forehand dan kami juga mempunyai ketangkasan untuk melakukan pukulan forehand.

"Soon Huat juga mempunyai kelajuan, jadi saya tidak perlu terlalu risau bersama dengannya," jelas Shevon.