Perseorangan wanita senior negara tidak mempunyai sebarang keraguan untuk menerima Sairul Amar Ayob sebagai mentor mereka ketika dia perlu membuktikan kredibilitinya sebagai seorang jurulatih.

Perkembangan terkini menyaksikan Sairul bakal menerima tanggungjawab besar untuk meningkatkan lagi prestasi pemain senior seperti Tee Jing Yi dan Soniia Cheah, serta menggantikan tempat Wong Tat Meng yang akan ke skuad perseorangan lelaki.

Ronny Augustinus pula akan terus membimbing pemain pelapis berbakat, termasuk Goh Jin Wei dan M.Thinaah.

Sekalipun memiliki pengalaman terhad sebagai jurulatih, Jing Yi dan Soniia tetap teruja untuk mempelajari apa yang bakal ditawarkan Sairul.

"Saya masih lagi mengingati ketika saya kecil, saya melihat dia beraksi. Dia merupakan jurulatih yang baru untuk kami, jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan pendekatan yang digunakannya dan kami perlu untuk berkomunikasi dengan lebih banyak," kata Soniia.

"Dia juga bekas pemain kebangsaan, jadi dia lebih tahu bagaimana keadaan pemain dan saya yakin kami boleh bekerjasama dengan baik untuk memberikan persembahan yang hebat. Untuk saya pastinya tiada masalah," kata Jing Yi.

Turut mengulas perkara yang sama ialah Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, yang menjelaskan bahawa untuk tempoh dua minggu pertama, Sairul akan ditemani oleh Tat Meng bagi memastikan dirinya tidak mengalami kejutan dalam menjalankan tugas barunya itu.

"Kami akan mengekalkan Tat Meng untuk seketika bersama Sairul supaya dia tidak mengalami kejutan dalam melatih pemain-pemain.

"Jika tidak, dia perlu melakukan segala-galanya sendiri dari hari pertama dan mungkin akan memberikan sedikit kejutan kepadanya. Sudah tentu kami akan membantunya untuk melakukan tugas tersebut," jelas Frost.