Skuad badminton negara terkejut dengan masalah kesihatan Datuk Lee Chong Wei kerana bekas pemain ranking pertama dunia itu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda menghidapi kanser sepanjang sesi latihan di Bukit Kiara.

Pada Julai lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan kenyataan menyatakan Chong Wei tidak akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan utama disebabkan masalah kesihatan serta telah dinasihatkan agar berehat oleh doktor selepas menjalani rawatan berikutan masalah berkaitan pernafasan.

BAM sekali lagi menggemparkan rakyat Malaysia apabila mengeluarkan kenyataan hari ini dengan mengesahkan masalah pernafasan yang dialami Chong Wei selama ini berpunca daripada kanser hidung peringkat awal.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menjelaskan pada masa ini, Chong Wei berada di Taiwan bagi mendapatkan rawatan sambil berehat untuk sembuh bersama keluarga dan kawan rapat.

Rakan sepelatih Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, terkejut dengan perkhabaran yang diterima mengenai keadaan Chong Wei dan berharap dia pulih sepenuhnya dan kembali beraksi di gelanggang.

"Kami sangat terkejut dengan masalah kesihatan yang dihadapi Chong Wei. Saya berharap setiap rakyat Malaysia memberikan sokongan kepadanya supaya segera kembali ke gelanggang," kata Iskandar.