Beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, tidak rela pulang ke tanah air tanpa sebarang kemenangan meskipun sudah tersingkir daripada saingan Siri Super Akhir di Dubai.

Dua perlawanan dan dua kekalahan di peringkat kumpulan sudah memadai untuk menoktahkan kempen Vivian dan Khe Wei di Dubai.

Persiapan singkat susulan penyertaan saat akhir dalam kejohanan penutup tirai musim 2016 itu mungkin menjadi faktor kesukaran Vivian dan Khe Wei untuk mencari rentak sebenar di dalam gelanggang.

Tetapi, jika mereka berupaya membawa aksi terbaik yang dipamerkan ketika perlawanan kedua menentang gandingan Korea Selatan, Shin Seung Chan-Jeun Kyeung Eun, tidak mustahil gandingan negara itu mampu untuk mengatasi pasangan muda China, Chen Qingchen-Jia Yifan.

Malah, Qingchen dan Yifan juga dijangka menyimpan tenaga memandangkan mereka sudah menempah kelayakan ke separuh akhir.

"Kelebihan mereka dari segi kelajuan dan tenaga. Saya berasa kami perlu memikirkan strategi yang sebaiknya untuk bertemu mereka kerana mereka merupakan gandingan muda dan mempunyai kekuatan yang lebih.

"Saya berasa kami perlu bermain dengan corak permainan kami sendiri, tidak boleh mengikuti permainan mereka," kata Khe Wei.