Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, melabel barisan pemain badminton negara mempunyai sindrom atlet Malaysia yang sukar dikikis, iaitu lemah mental serta kurang semangat melawan, yang menjadi penyakit kepada kegagalan di pentas utama badminton dunia.

"Pemain-pemain badminton kita mengalami sindrom Malaysia," kata Norza.

"Hanya Lee Chong Wei tampil sebagai wakil tunggal untuk beraksi dalam Seluruh England. Pemain-pemain lain masih lagi kekurangan semangat untuk berjuang dan jalan penyelesaian harus dicari bagi menangani masalah ini," katanya.

Ia hakikat yang diakui presiden BAM itu, dengan penawarnya masih belum ditemui. Apa yang dinyatakan oleh Norza adalah berdasarkan kepada aksi yang dipamerkan pemain negara dalam Kejohanan Seluruh England.

Melainkan Datuk Lee Chong Wei, pemain negara yang lain gagal untuk merebut kemenangan pada ketika mereka sudah memegang mata akhir untuk menamatkan perlawanan.

Pada saat genting itu, mereka kekurangan daya tahan dan sering tersungkur dengan kelemahan diri sendiri.

"Dalam saingan suku akhir, 10 pemain China dan 10 pemain Jepun berada dalam pusingan ini dan beberapa lagi dari negara lain. Jadi, kita perlu mengkaji pencapaian Jepun yang mula menyaingi China sebagai kuasa besar dalam sukan badminton," tambahnya.

Jika sindrom Malaysia ini gagal diubati, sukar bagi Malaysia untuk menyaingi pasukan lain secara konsisten di pentas antarabangsa.