Bermula 17 hingga 22 Januari depan, Sibu buat julung kalinya akan menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters 2017.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sebanyak 17 negara bakal berentap merebut gelaran juara dalam kejohanan yang menawarkan habuan AS$120,000 (RM537,400) itu.

“Ini merupakan julung kalinya Stadium Tertutup Sibu akan menjadi medan pertembungan pemain badminton antarabangsa selepas aksi Sukan Malaysia yang lalu,” katanya.

Sebanyak lima acara akan dipertandingkan, iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

“Kesemua negara dijangka menghantar jaguh badminton masing-masing untuk bersaing dalam kejohanan berprestij ini, termasuk mereka yang beraksi dalam Sukan Olimpik Rio (Ogos lalu),” katanya.

Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada sirkit Grand Prix Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan dianjurkan bersama oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Sarawak (SBA).

Ia juga dianjurkan sempena dengan Tahun Melawat Sibu 2017 (TMS 2017).

Tambahnya lagi, Sibu terpilih disebabkan telah memiliki sebuah stadium badminton yang baru dan sesuai untuk kejohanan badminton bertaraf dunia.

Pusingan kelayakan akan diadakan pada 17 Januari manakala pertandingan peringkat awal akan berlangsung pada 18 dan 19 Januari.

Peringkat suku akhir akan diadakan pada 20 Januari, diikuti separuh akhir pada 21 Januari dan akhir pada 22 Januari.

Dalam kejohanan edisi 2016 yang berlangsung dari 19 hingga 24 Januari lalu, Datuk Lee Chong Wei menjuarai kejohanan itu dengan menewaskan rakan senegara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, dalam acara perseorangan lelaki.

Perseorangan wanita dimenangi Pusarla V. Sindhu dari India yang menewaskan Kirsty Gilmour dari Scotland.

Pasangan Indonesia, Marcus Fern Gideon dan Kevin Sanja Sukamuljo, pula memenangi kategori beregu lelaki dengan menewaskan pasangan Malaysia, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, manakala Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi dari Jepun mengungguli beregu wanita dengan menumpaskan pasangan China, Tang Yuanting dan Yu Yang.

Beregu campuran menyaksikan pasangan China, Zheng Siwei dan Li Yinhui, muncul juara dengan menewaskan pasangan Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.

Satu lagi kejohanan yang akan dilangsungkan di Sarawak ialah kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2017 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan di Kompleks Sukan Sarawak di Kuching pada April depan.