Barisan pemain wanita negara tidak akan maju andai gagal mengubah mentaliti untuk melakar kejayaan, sekali gus membataskan pencapaian mereka di pentas antarabangsa serta kemampuan untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, enggan berselindung dalam melahirkan kekecewaan terhadap aksi pemain perseorangan wanita negara dalam Kejohanan Seluruh England, terutama Soniia Cheah yang tewas dalam pusingan pertama pada ketika dia hampir meraih kemenangan.

Bagi Seu Bock, apa yang berlaku kepada Soniia adalah sesuatu yang sukar diterima dan seandainya pemain itu serta pemain-pemain lain tidak mengubah mentaliti, mereka akan terus di takuk lama.

"Jika mereka tidak ubah mentaliti, pemain-pemain Malaysia tidak akan berpeluang untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia," kata Seu Bock.

Soniia tewas dalam pusingan pertama kepada pemain Indonesia, Fitriani, dalam tiga set manakala Goh Jin Wei pula memberikan tentangan sebelum tunduk kepada pemain Jepun, Aya Ohori, dalam straight set dalam pusingan kedua.

Bagi Seu Bock, alasan gugup atau sekadar mahu menerima pengalaman beraksi kali pertama dalam Seluruh England, tidak dapat diterima.

"Beraksi buat kali pertama, pemain-pemain seharusnya menampilkan aksi yang lebih berkualiti untuk membuktikan kebolehan mereka, hakikatnya ia tidak berlaku" katanya lagi.

Dengan Soniia akan memikul cabaran negara ke Sukan Komanwel bulan depan, Seu Bock berdepan tugas sukar dalam tempoh singkat ini bagi memastikan pemain itu mampu mencapai keputusan yang diharapkan.

"Sikap serta mentaliti harus diubah jika mahu cemerlang. Emosi harus diketepikan ketika dalam gelanggang kerana ia menggugat rentak permainan," tambahnya.