Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, selesa dengan dasar baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam pembentukan skuad kebangsaan sekalipun terbit tekanan tambahan buat jurulatih dan pemain.

Skuad kendalian Seu Bock itu antara yang terkesan apabila kontrak jurulatih senior dari Indonesia, Ronny Augustinus, tidak disambung.

Ini bermakna hanya tinggal Seu Bock dan pembantu jurulatih, Loh Wei Sheng, untuk memperincikan program buat tujuh perseorangan negara, termasuk Goh Jin Wei dan Soniia Cheah.

Bagaimanapun, dia berasakan tekanan bukan ke atasnya, sebaliknya lebih kepada pemain untuk membuktikan kredibiliti sekiranya berhasrat untuk kekal dalam program kebangsaan.

"Kami tidak pasti sama ada langkah mewujudkan kumpulan pemain yang besar lebih bagus atau sebaliknya.

"Apapun, kami perlu cuba dan buat perubahan, tidak rugi kami mengetengahkannya.

"Ia bukan satu masalah buat bahagian perseorangan wanita negara hanya kerana kami kehilangan seorang jurulatih," ujarnya.

Tambahnya: "Tujuannya tetap sama kerana kami ingin menaikkan tahap permainan atlet.

"Apa yang penting adalah pemain itu sendiri, mereka perlu berusaha.

"Kalau kami mempunyai ramai jurulatih sekalipun, ia tidak berguna juga kalau pemain itu sendiri tidak berusaha."

Pendekatan BAM dengan menyingkirkan pemain tidak berkualiti membangkitkan persoalan adakah untuk waktu yang panjang, badan induk itu dilimpahi pemain berstatus penumpang.

"Tidak timbul istilah pemain penumpang dalam kem kebangsaan. Sebaliknya pemain ini tidak faham apakah tujuan mereka dalam kem kebangsaan ini.

"Saya tidak nafikan ada pemain yang kurang berbakat. Mereka bukannya malas dan tidak mengambil peluang yang diberikan.

"Mungkin apabila mereka keluar daripada BAM, bakat mereka lebih menyerlah. Mereka perlu berusaha lebih gigih lagi," katanya.