Persengketaan di antara Datuk Lee Chong Wei dan pengarah teknikal, Morten Frost, ibarat kanser buat badminton Malaysia dengan badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), gagal menangani isu ini dengan lebih efektif.

Itu pandangan bekas pengarah prestasi tinggi BAM, Datuk James Selvaraj yang akur perkembangan ini mencalar kredebiliti pengurusan BAM.

Malah, James bingung mengapa pemangku presiden Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, dan barisan kempimpinan tidak mengatur pertemuan semeja di antara Chong Wei dan Frost lebih awal.

"Kedua-dua presiden dan timbalan seharusnya duduk semeja bersama mereka dan mengenalpasti apa masalah sebenarnya yang berlaku. Tetapi dibiarkan sehingga kini, Chong Wei mengatakan Frost punca, sedang Frost mengambil langkah berdiam diri dan membiarkan pegawai BAM menyelesaikannya, jadi kami tidak tahu. Kami hanya mendengar cerita sebelah pihak sahaja," ujar Selvaraj.

Perkembangan terkini menyaksikan Chong Wei menegaskan sukar untuk dia dan Frost memulihkan perhubungan mereka.

James berasakan kedudukan Frost sebagai pengarah teknikal perlu lebih dihormati barisan kejurulatihan.

Ini merujuk kepada perbincangan di antara Frost dan jurulatih perseorangan, Hendrawan, yang sampai ke pengetahuan Chong Wei, antara faktor yang menghangatkan lagi kemelut di antara dua individu itu.

"Mereka mempunyai kumpulan pemain, bukan sahaja Chong Wei. Terdapat beberapa kumpulan pemain lain di bawah kendalian Hendrawan dan Tey Seu Bock. Saya berpendapat, mereka boleh mengambil intipati penting, dan kemudiannya memberitahu kepada pemain. Ianya tidak boleh berlaku apa yang pengarah kejurulatihan beritahu kepada jurulatih, disampaikan seratus peratus kepada pemain. Ini menunjukkan adanya masalah komunikasi. Saya fikir , Frost perlu bertegas sebagai pengarah kejurulatih dan memberitahu pemain sendiri apa yang dimahukannya."