Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, sudah mula mencongak strategi untuk menghadapi lawan dalam pusingan kedua Kejohanan Seluruh England, Jung Kyung-en-Shing Seun Chan, dari Korea Selatan, awal pagi esok.

Di atas kertas, beregu lawan itu lebih unggul kerana bukan sahaja diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan tetapi mereka juga mempuyai rekod kemenangan yang baik ke atas Vivian-Khe Wei.

"Mereka sememangnya pencabar yang sukar. Kami pernah menentang mereka dalam Final Siri Super di Dubai yang lalu.

"Tak mudah untuk mematikan permainan mereka. Malah, mereka juga bagus dari segi bertahan," kata Vivian.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, akan diuji oleh satu lagi pasangan Korea, Yoo Yeon Seong-Kim Ha Na, yang baru sahaja membentuk gandingan.

"Mereka merupakan pasangan yang baru dibentuk, kami tidak berkesempatan lagi untuk menilai corak permainan mereka memandangkan ini penyertaan pertama mereka dalam Seluruh England.

"Untuk itu, kami perlu bersedia beraksi lebih baik," ujar Pei Jing.