Seluruh England: Faktor pergerakan bulu tangkis halangan kecil buat Ee Yi-Yew Sin

By Ammar Hakim 8 March 2017
Seluruh England: Faktor pergerakan bulu tangkis halangan kecil buat Ee Yi-Yew Sin

Faktor pergerakan bulu tangkis menjadi halangan kecil buat pemain beregu lelaki negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, di gelanggang Barclaycard Arena Birmingham menjelang perlawanan pertama Kejohanan Seluruh England hari ini.

Sesi latihan terakhir skuad negara hari ini berlangsung dengan lancar.

Kesemua pemain cuba untuk menyesuaikan dengan keadaan persekitaran seperti kelajuan angin, lampu dan juga permukaan gelanggang.

Namun, pasangan beregu lelaki negara, Ee Yi dan Yew Sin, masih belum mendapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang disifatkan baru untuk mereka.

Faktor pergerakan bulu tangkis yang agak perlahan daripada kebiasaan membuatkan mereka perlu menukar gaya permainan menjelang perlawanan pertama menentang gandingan Taiwan, Lu Ching Yao dan Yang Po Han.

"Kami hanya perlu membiasakan diri dengan pergerakan bulu tangkis, dari segi cuaca dan persekitaran kami sudah menyesuaikan diri," kata Ee Yi.

Cukup teruja dengan penampilan pertama mereka dalam Kejohanan Seluruh England, kedua-dua pemain ini menyimpan hasrat untuk melakar kejayaan.

Kejohanan ini bakal menjadi medan untuk mengukur kemampuan mereka di pentas kompetitif bagi membina momentum untuk Kejohanan Piala Sudirman pada Mei di Gold Coast, Australia dan Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos.

"Lawan kami juga membuat penampilan pertama di Seluruh England, kami berharap dapat melakar kemenangan," ujar Yew Sin.

About Author

Ammar Hakim

Comment