Seluruh England: Chong Wei sedia pertahan gelaran tahun hadapan

By Ammar Hakim 13 March 2017
Seluruh England: Chong Wei sedia pertahan gelaran tahun hadapan

Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menyifatkan kejayaan menggondol kejuaraan Seluruh England buat kali keempat amat bermakna buat dirinya dan sedia mempertahankan mahkota itu tahun depan.

Chong Wei melangkah masuk ke gelanggang sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut.

Sepanjang 45 minit, Chong Wei menunjukkan keinginan yang tinggi dan menamatkan perlawanan dengan pemain nombor 10 dunia dari China, Shi Yuqi, dengan kemenangan mutlak 21-12, 21-10.

Ia adalah kejuaraan keempat buatnya sepanjang 13 penampilan dalam Seluruh England. Bersaksikan seluruh peminat di Barclaycard Arena, Chong Wei menyatakan kesediaannya untuk kembali mempertahankan kejuaraan itu.

"Perkara yang penting adalah saya akan mengatur jadual buat diri saya bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang," kata Chong Wei.

Bagi lawannya,Yuqi, tiada apa-apa yang mampu dilakukan untuk mengekang asakan Chong Wei dalam perlawanan itu.

Yuqi gagal untuk mempamerkan persembahan cemerlang sepertimana ditampilkan pada peringkat separuh akhir, dengan menyingkirkan penyandang juara edisi lalu, Lin Dan.

“Persembahan hari ini agak memuaskan, saya menganggap pertemuan ini sebagai satu sesi pembelajaran, kerana dia (Chong Wei) menggunakan segala kemampuannya untuk menewaskan saya.

"Jadi, saya agak berbangga dengan pertembungan kami berdua pada hari ini,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment