Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, bukan sahaja akan turun sebagai juara bertahan, malah memasang impian menjadi rakyat Malaysia paling banyak meraih gelaran dalam Kejohanan Seluruh England, bulan depan.

Chong Wei telah menyamai rekod legenda badminton Malaysia, Eddy Choong, yang memenangi empat gelaran Seluruh England dalam acara perseorangan lelaki.

Berhajat mengotakan janjinya di hadapan peminat di Birmingham Arena, Chong Wei akan tampil sekali lagi tahun ini bagi memburu gelaran kelimanya dalam kejohanan tersebut.

Kejohanan badminton tertua di dunia itu disifatkan Chong Wei sebagai salah satu saingan yang digemarinya dan dia memang meletakkan sasaran tinggi untuk muncul juara.

"Saya sudah menang empat kali, ramai orang tanya saya kenapa masih fokus Suluruh England?

"Saya mahu melakukan yang terbaik, tiada yang dapat pecah rekod saya dalam kejohanan itu," ujarnya.

Seluruh England bakal menghimpunkan barisan pemain ternama dunia yang sudah biasa ditentang Chong Wei kecuali ketiadaan pemain nombor satu dunia, Victor Axelsen, yang menarik diri akibat kecederaan buku lali.

Menanti Chong Wei dalam pusingan pertama adalah pemain tidak ternama dari Brazil, Ygor Coelho.

"Saya sudah tahu jumpa siapa, cuma sekarang saya mula fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan dan saya akan buat sehabis baik untuk kejohanan itu. Sekarang ini, saya ada lebih kurang dua minggu untuk membuat persiapan," katanya lagi.