Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, lebih mengutamakan semangat kesukanan meskipun mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan GP Emas Masters Malaysia 2017 di Sibu, Sarawak.

Dihimpit kecederaan pergelangan kaki sejak pusingan pertama, situasi itu nyata menggugat persembahan Jin Wei untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Ia lebih ketara dalam saingan pusingan kedua di mana dia gagal untuk memberikan tentangan kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hsin, sebelum tewas dalam aksi straight sets.

Menurut Jin Wei, dia diberi pilihan oleh jurulatih, Roni Agustinus, untuk menarik diri daripada pertemuan ini, namun mengambil keputusan meneruskan aksi.

"Sejak pusingan pertama, saya sudah merasai kesakitan tetapi lawan ketika itu tidak begitu kuat, jadi saya masih mampu menang.

"Jurulatih memberitahu saya supaya bermain sehingga saya mampu dan jika tidak mampu, saya boleh membenarkan 'walkover'. Namun, itu bukan semangat kesukanan yang baik, kerana itulah saya meneruskan aksi," jelas Jin Wei.

Keadaan terbaharu Jin Wei ini menimbulkan tanda tanya sama ada dia mampu untuk mewakili negara dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam, bulan depan.

Namun, dia berharap dapat mengharungi musim 2017 dengan penuh keyakinan, apatah lagi kini disandarkan harapan selaku perseorangan wanita nombor satu negara.

"Ia seperti Sindrom Os Trigonum, di mana ia menyebabkan tulang di bahagian kaki saya mengalami keradangan.

"Saya enggan keadaan bertambah teruk kerana perlawanan seterusnya lebih penting," tambah Jin Wei.