Bekas perseorangan negara, Sairul Amar Ayob, bersedia menabur bakti buat skuad kebangsaan ketika namanya muncul sebagai calon mengisi kekosongan jurulatih skuad perseorangan.

Sairul, 36 tahun, yang membarisi zaman emas perseorangan lelaki kebangsaan dari tahun 1998 sehingga 2002 disifatkan sebagai pemain berbakat.

Dia juga merupakan antara anak didik Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, kemudian meneruskan kerjaya sebagai profesional sebelum menggantung raket pada 2010.

"Sebagai jurulatih, saya akui masih kurang berpengalaman. Tetapi pengalaman yang ada sebagai pemain, apa latihan yang saya jalani sebelum ini dan apa yang ada pada saya, sedikit-sebanyak boleh membantu pemain," katanya.

Kepakarannya sebagai pemain kebangsaan dan profesional berupaya menjadi aset dalam membentuk pemain muda, sama ada perseorangan lelaki atau wanita.

Jika dia menjadi pilihan Frost melengkapkan skuad kejurulatihan, Sairul tahu bagaimana untuk meningkatkan kualiti persaingan antara pemain.

Di bawah tunjuk ajar mendiang bekas jurulatih perseorangan negara, Indra Gunawan, Sairul bersaing bersama pemain senior, Ong Ewe Hock, Wong Chong Hann dan tidak terkecuali pemain meningkat naik waktu itu, Hafizh Hashim dan Datuk Lee Chong Wei untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

"Tak dinafikan kalau nak dibandingkan dengan zaman saya dulu, terdapat enam hingga tujuh pemain negara yang berada di kalangan senarai 20 pemain terbaik dunia.

"Sekarang kita tengok jurang di antara Chong Wei dan Iskandar (Zulkarnian Zainuddin) agak jauh.

"Pemain kita harus bekerja kuat lagilah dan pemain-pemain di bawah Iskandar perlu ambil contoh daripada Chong Wei."