Spekulasi calon mengisi kekosongan jurulatih perseorangan kebangsaan akhirnya terjawab apabila bekas pemain negara, Sairul Amar Ayob, dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, mendapatkan khidmat Sairul dengan tempoh kontrak selama setahun.

Dia akan ditugaskan mengemudi skuad perseorangan wanita di samping Ronny Augustinus, menggantikan Wong Tat Meng yang akan ke perseorangan lelaki.

Frost sebelum ini tetap berbicara dengan beberapa calon lain, namun berasakan Sairul adalah pilihan tepat buat skuad negara dengan dia akan memulakan tugas 31 Oktober ini.

“Sairul dan saya telah bekerjasama sekian lama, dia merupakan pemain ketika saya di sini hampir 20 tahun lalu dan saya berasakan kami mempunyai hubungan baik.

"Bukan mudah untuk mencari jurulatih perseorangan dan kerana itu saya memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan yang dibarisi jurulatih tempatan,” jelas Frost.

“Apa yang telah dibincangkan bersama Morten adalah untuk mempertingkatkan mutu permainan. Kami akan bekerjasama dengan Morten dari segi latihan yang perlu ditambah buat pemain-pemain.

"Apa yang penting adalah untuk meningkatkan prestasi mereka,” kata Sairul pula.

Berasal dari Kangar, Perlis, Sairul pernah beberapa kali menjuarai Kejohanan Badminton di Eropah dan Australia.

Sairul juga pernah menduduki ranking keenam dunia ketika aktif selaku pemain kebangsaan.