Rosman sahut cabaran Morten Frost

By Ammar Hakim 23 November 2016
Rosman sahut cabaran Morten Frost

Cabaran daripada Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, memadai dalam meyakinkan Rosman Razak kembali menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih negara meskipun akur selesa dengan kedudukan mengetuai program beregu Akademi Sports Affairs.

Rosman menyifatkan pertemuannya dengan Frost minggu lalu sebagai satu perbincangan singkat bersandarkan cabaran untuk mengatasi pencapaian bersama skuad beregu wanita, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel dan gangsa Sukan Asia 2014.

Malah, ketika menandatangani kontrak dua tahun bersama BAM, Rosman tidak mengetahui portfolio yang bakal diberikan sehinggalah Frost mengumumkan beregu lelaki kepada media sebagai tugas barunya yang akan bermula pada Januari 2017.

Ini bermakna Rosman akan bekerjasama dengan Jeremy Gan yang mengendalikan beregu senior seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan jurulatih pelapis, Cheah Soon Kit.

"Saya selalu meletakkan sasaran yang tinggi kepada diri saya sendiri. Tidak kira sama ada saya melatih pemain pelapis atau senior, itu bukan perkara utama, sebaliknya tugas saya adalah untuk membawa pemain ke peringkat tertinggi dalam kerjaya mereka," katanya.

Rosman menolak tawaran ketika Frost membentuk program baru pada Mac 2015 dengan memilih cabaran baru di Sports Affairs.

Lebih setahun mendalami platform organisasi badan profesional, Rosman menegaskan dia kembali ke BAM sebagai jurulatih lebih berkualiti.

"Selama setahun saya di Sports Affairs, kami tidak mengambil pemain-pemain dari negeri tetapi kami berjaya untuk mendapatkan keputusan yang baik di peringkat pemain pelapis.

"Suasananya cukup berbeza, banyak perkara yang telah saya belajar di luar, saya berharap mampu menterjemahkannya bersama BAM."

About Author

Ammar Hakim

Comment