Rosman Razak secara rasmi memulakan tugas sebagai jurulatih beregu lelaki negara hari ini selepas kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), November tahun lalu.

Dia kini bertanggungjawab membimbing dua gandingan beregu negara, iaitu Tan Wee Gien-Tan Chee Tean dan Low Juan Shen-Chooi Kah Ming.

"Ini hari pertama, tahun yang baru, azam yang baru, pemain yang baru dan misi yang baru.

"Sudah tentu apabila jurulatih Morten (Frost) memberi tugas untuk menjaga pasangan yang dianggap ketiga dan keempat, ia bukan senang.

"Bagaimanapun, saya teruja untuk mengambil tugas ini dan kami harus bekerja dari situ," katanya.

Dengan kemasukan Rosman, skuad beregu lelaki negara kini mempunyai tiga jurulatih, iaitu Jeremy Gan dan juga Cheah Soon Kit.

Ujian pertama Rosman adalah Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Sibu, Sarawak, bermula 17 Januari ini.

"Menurut rekod yang lepas, keputusan pasangan ketiga dan keempat ini tidaklah begitu baik.

"Jadi, Morten mahu saya untuk menaikkan ranking mereka dan program latihan. Perkara-perkara seperti itu yang saya perlu beri perhatian," tambahnya.

Rosman mula berkhidmat bersama BAM pada 2012 dengan tugas melatih skuad beregu wanita, namun pada 2015, beliau bersama Rashid Sidek mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan menyertai Akademi Badminton Sports Affairs.

Rosman, bagaimanapun, kembali ke persatuan itu selepas menandatangani kontrak selaku jurulatih pasukan beregu lelaki negara, November lalu.

Termasuk Rosman, BAM ketika ini mempunyai 11 jurulatih, iaitu Hendrawan, Tey Seu Bock, Indra Wijaya (perseorangan lelaki), Sairul Amar Ayob, Rony Agustinus (perseorangan wanita), Jeremy Gan, Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Lim Pek Siah, Wong Pei Tty (beregu wanita), Chin Eei Hui dan Pang Cheh Chang (beregu campuran).