Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Roslin Hashim, menyarankan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar menggunakan kudrat pemain muda yang mempunyai keinginan tinggi berbanding pemain senior bagi menghadapi cabaran Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Menurutnya, ia bukanlah lagi soal pendedahan mahupun kekurangan pengalaman kerana pemain seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao mempunyai kualiti yang lebih meyakinkan jika dibandingkan pemain lain dalam skuad perseorangan.

Skuad badminton lelaki negara mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Thomas selepas muncul dalam kalangan empat pasukan terbaik dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, minggu lalu.

Namun, kejohanan di Bangkok adalah cabaran sebenar dan Roslin menegaskan dua pemain muda negara itu mampu memberi impak andai jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, merombak skuadnya.

"Ia faktor yang harus diambil kira kerana kita sekarang tidak perlu memikirkan soal pemain muda atau berumur. Apa yang paling penting adalah diri mereka sendiri, secepat mana mereka mengecap kejayaan," kata Roslin.

Dalam aksi di Alor Setar, Zii Jia melakar kemenangan ke atas semua lawannnya kecuali ketika menentang Shi Yuqi dari China di peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, sekalipun Jun Hao hanya dibawa ke Alor Setar sebagai rakan sepelatih, dia mempunyai rekod cemerlang tahun ini.

"Tidak perlu pasukan membawa pemain untuk pendedahan. Saya rasa, kalau bawa dengan tujuan itu, ia adalah satu kesilapan besar.

"Ini bermakna pemain yang terpilih nanti harus mempersiapkan diri mereka untuk mendapatkan pingat kerana itulah sasarannya," kata Roslin lagi.