Ranking ke-9 dunia lonjak semangat Kian Meng-Pei Jing dalam GP Final Kebangsaan

By Shaiful Shamsudin 9 December 2016
Ranking ke-9 dunia lonjak semangat Kian Meng-Pei Jing dalam GP Final Kebangsaan
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mahu meraikan kejayaan memecah masuk ke dalam kelompok 10 terbaik dunia dengan memenangi gelaran Grand Prix (GP) Final Kebangsaan. 

Menakjubkan apabila memikirkan peningkatan mendadak Kian Meng-Pei Jing yang kini berada di ranking kesembilan dunia meskipun hanya digandingkan Januari lalu. 

Oleh itu, mereka sebagai pilihan utama meletakkan kemahuan tinggi untuk memastikan tidak berputih mata di tangan gandingan pelapis. 

Mereka mengesahkan laluan ke separuh akhir GP Final Kebangsaan hari ini dengan memenangi aksi terakhir kumpulan ke atas Ong Yew Sin-Peck Yen Wai 21-14, 21-11.

"Kami tidak menyangka dapat mendaki kelompok 10 terbaik dunia dengan begitu cepat. 

"Tapi memandangkan kami sudah berjaya menempatkan diri, kami sangat gembira dan bangga. 

"Sudah tentu kami perlu meletakkan sasaran, jadi kami ingin menjuarai kejohanan ini," kat Pei Jing. 

Sebelum mengimpikan kejuaraan, Pei Jing-Kian Meng menegaskan keperluan untuk memastikan kemenangan dalam separuh akhir terlebih dahulu. 

Sekiranya mara ke final, mereka dijangka berentap dengan pilihan kedua kejohanan, Tan Chee Tean-Chow Mei Kuan. 

"Mereka memiliki corak bertahan dan menyerang yang bagus. Kalau nak menang, kami perlu bijak dalam merencana strategi."

Dalam perkembangan lain di Kejohanan Masters Korea, pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, mara ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan ketiga kejohanan, Lee Dong Keun, dalam aksi straight set 21-19, 21-16.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment