Inisiatif pembangunan badminton profesional negara, Purple League, memperoleh pengiktirafan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk musim ketiga dari 12 Disember 2016 hingga 12 Februari 2017.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 2014, Purple League sudah banyak berkembang dan tidak hanya tertumpu kepada pemain elit dunia.

Di samping saingan senior, Purple League turut mengilhamkan liga kompetitif di peringkat remaja bermula musim kedua, sekali gus mencapai objektif membantu usaha penambahan program akar umbi.

Menerusi sokongan penuh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pasukan bertanding memperoleh ruang untuk mendapatkan khidmat bintang utama negara.

Pengaruh daripada BWF menerusi kehadiran presidennya, Poul Eric Hoyer Larsen, semasa majlis pelancaran hari ini, sudah pasti menarik perhatian pemain terbaik dunia untuk mendampingi Purple League bagi tempoh jangka masa panjang.

"Ia memberikan kami jaminan untuk menunjukkan bahawa kami berada di jalan yang betul bagi membawa kualiti liga berkelas dunia, bersama-sama penaja," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Purple League, Datuk Jack Koh.

Antara venue pertandingan Purple League musim ketiga adalah Gem In Mall, Cyberjaya dan pusingan akhir di Arena of Stars, Genting Highlands.

Ikuti perkembangan terkini dan siaran langsung perlawanan Purple League di Astro Arena 801 dan 802 HD.