Selepas penganjuran tiga edisi, saingan Purple League mula berhasil dalam melahirkan bintang dalam pembikinan di luar program Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Nama seperti Chen Tang Jie dan Man Wei Chong yang beraksi dalam saingan beregu membuat Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya antara yang paling menyinar dalam kejohanan itu.

Menerusi saingan liga profesional ini, mereka berpeluang beraksi di samping senior seperti pemain beregu nombor satu dunia, Goh V Shem.

Kudrat mereka juga semakin ditagih skuad kebangsaan hasil hubungan baik di antara kelab dan BAM, yang menyaksikan mereka menjadi sebahagaian skuad Kejohanan Remaja Dunia 2016 negara.

"Sasaran utama kami tercapai untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda meraih lebih banyak pengalaman beraksi bersama pemain yang lebih berpengalaman," kata Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Datuk Jack Koh.

Pemain yang pernah bernaung di bawah BAM seperti perseorangan lelaki, Goh Giap Chin, juga memiliki peluang kedua untuk meneruskan karier mereka.

Malah, dia memainkan peranan sebagai wira membantu KB Petaling Jaya muncul juara musim ini.

Tambah Jack, penganjuran saingan ini adalah sentiasa untuk membantu skuad kebangsaan dan pembangunan di peringkat akar umbi.

"Kami tidak bersaing dengan BAM, kami berkerjasama dengan mereka untuk meningkatkan lagi mutu sukan badminton negara."